LZNK salur biasiswa RM300,000

Syeikh Zakaria (kanan) bersama salah seorang pelajar menerima surat tawaran tajaan.
Syeikh Zakaria (kanan) bersama salah seorang pelajar menerima surat tawaran tajaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyalurkan RM300,000 tajaan biasiswa bagi pembiayaan pendidikan kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS) yang cemerlang akademik.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, seramai 31 pelajar terdiri daripada asnaf fisabilillah dibantu dengan pembiayaan penuh untuk melanjutkan beberapa program pengajian di UniSHAMS itu.

Katanya, pihaknya menyatakan hasrat untuk membantu anak-anak Kedah yang cemerlang dalam akademik tetapi menghadapi masalah kekangan kewangan akan dibantu LZNK melalui jalinan kerjasama itu.

"Seramai 12 orang pelajar peringkat Diploma dan 19 orang lagi bagi peringkat Sarjana Muda akan dibantu sepenuhnya dengan pembiayaan penuh untuk melanjutkan pengajian dalam beberapa program pengajian di universiti itu.

“Pelajar terpilih bagi peringkat Diploma akan mendapat pembiayaan RM30,000, manakala RM48,000 diberikan kepada pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda termasuk duit sara hidup sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat tawaran tajaan biasiswa kepada pelajar terpilih di Dewan Eksperimental, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) di sini.

Syeikh Zakaria (duduk, dua kanan) bersama sebahagian pelajar menerima tajaan biasiswa itu.
Syeikh Zakaria (duduk, dua kanan) bersama sebahagian pelajar menerima tajaan biasiswa itu.

Katanya, LZNK dan UniSHAMS akan membuat pemilihan pelajar berkelayakan menerima tajaan biasiswa secara bersama, selain pelajar memohon biasiswa perlu menjalani sesi temuduga dengan Zakat Kedah terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, biasiswa ini adalah satu platform kerjasama strategik dalam jangka masa panjang untuk tujuan pembangunan pendidikan anak-anak Kedah dalam kategori Asnaf Fi Sabilillah.

“Pelajar yang terpilih untuk biasiswa ini perlu terikat dengan perjanjian dengan LZNK, yang mana mereka perlu memastikan kecemerlangan akademik mereka berterusan sehingga tamat pengajian dengan memperoleh CGPA minimum 3.50.

Sementara, Rektor UniSHAMS, Proffesor Dr Shamsul Jamili Yeob berkata, usaha murni itu meringankan kos pengajian pelajar asnaf, malah diyakini dapat menarik lebih ramai pelajar ke institusi pengajian awam.

“Jalinan kerjasama ini adalah satu tanda pemuafakatan yang wujud antara institusi dalam negeri dan saling membantu membangunkan rakyat negeri ini dalam pelbagai aspek,” katanya.