Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 4,346 orang

Penduduk kampung terpaksa meredah banjir sedalam 0.5 meter berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu ketika tinjauan di Jalan Lebai Leh, di Kampung Ulu Kusial Tanah Merah pada Sabtu. - Foto Bernama
Penduduk kampung terpaksa meredah banjir sedalam 0.5 meter berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu ketika tinjauan di Jalan Lebai Leh, di Kampung Ulu Kusial Tanah Merah pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini semakin meningkat iaitu seramai 4,346 orang daripada 1,071 keluarga berbanding hampir 4,100 orang dicatatkan awal pagi Ahad.

Menurut laman infobencana.jkm, sehingga jam 6 petang Ahad, mangsa dipindahkan ke 53 buah PPS iaitu 16 buah di Gua Musang, 28 di Kuala Krai dan selebihnya di Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

Mangsa yang dipindahkan melibatkan 1,394 lelaki, 1,413 perempuan, 1,421 kanak-kanak,118 orang bayi, 198 warga emas dan 42 orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, sehingga jam 6 petang Ahad, laman ebanjir turut memaklumkan empat sungai utama di negeri ini berada melebihi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Jambatan Guillemard, dan juga Sungai Golok di Rantau Panjang.

Selain itu tiga jalan di Machang dan Tanah Merah ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kilometer 11.5 Kampung Kuala Hau-Temangan, Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh dan Jalan ke loji air Bukit Remeh, Tanah Merah.

Tiga jalan lain ialah Jalan Jirat di Kuala Krai, Jalan Kampung Pahi dan Kampung Kuala Nal pula diletakkan papan tanda amaran bagi memastikan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan sentiasa berjaga-jaga.

Orang ramai dinasihatkan berpindah segera dan patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan: