X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Saya tak tanding di Larut: Saarani

Saarani (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada veteran UMNO Bahagian Larut selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini pada Ahad.
A
A

LARUT - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus menamatkan spekulasi yang timbul sebelum ini.

Beliau yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut berkata, calon yang akan dipilih untuk bertanding di kerusi itu merupakan anak tempatan yang boleh memenangi kawasan tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan tetapi UMNO Bahagian Larut memang sudah mempunyai calon sendiri.

"Tidak (bertanding di Larut), saya tidak akan mengucar-kacirkan bahagian yang telah saya bina. Saya sudah ambil bahagian pada waktu mereka kehilangan bapa dan saya tidak akan bertanding di sini. Saya beri jaminan mahu balik ke Lenggong. Saya ketua UMNO bahagian. Di lenggong saya pun ada calon sendiri di Parlimen. Saya tak nak usik apa-apa.

"Saya nak pastikan saya bagi semangat dan keyakinan UMNO Larut bahawa orang larut sendiri ada calon tempatan mereka yang boleh menang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi UMNO negeri berkata, UMNO Perak tidak membuat sebarang ketetapan mengenai pemilihan parti perlu diadakan sebelum atau selepas pilihan raya umum (PRU) dan akan memutuskan melalui usul pada mesyuarat perwakilan.

"Hanya ada dua perbezaan pendapat pertama ada pendapat yang mengatakan kita perlu buat pemilihan UMNO terlebih dahulu sebab tempoh akhir pemilihan pada 31 Disember tahun depan tetapi ada pendapat sebaliknya.

"Mesyuarat UMNO negeri tidak mengarahkan keputusan perlu dibuat atau standard pendirian cuma secara peribadi ada yang bertanya, jadi saya kena jawab sebab saya ketua jentera pilihan raya negeri. Pada pendapat saya kita kena buat pilihan raya dahulu baru buat pemilihan UMNO," katanya.

Jelasnya, pemilihan perlu dibuat selepas PRU kerana dibimbangi akan berlaku perpecahan dan rasa tidak puas hati oleh pemimpin yang kalah bertanding ketika pemilihan tersebut.

Saarani berkata, perubahan kepimpinan selepas pemilihan parti mungkin boleh menjejaskan persediaan jentera pilihan raya yang telah dilatih sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, calon PRU15 tidak tertakluk pada jawatan yang dimenangi pada pemilihan parti.

Tambah beliau, individu yang bukan memegang jawatan dalam parti turut berkelayakan untuk dipilih sebagai calon PRU.

"Cuma ada orang kata kalau buat begitu (pemilihan terlebih dahulu) calon PRU orang lamalah. Tak semestinya, Di Melaka telah terbukti daripada 28 bahagian, tiga orang sahaja ketua bahagian jadi calon dan lain semua orang baru. Nak jadi calon tak semestinya memegang jawatan.

"Tak perlu bimbang, kalau ada ketokohan, kredibiliti, calon boleh menang tak perlu jawatan. Kita nak adakan pilihan raya ketika kita ada kekuatan, jentera kuat, berpadu, bersatu, ada kemahiran, baru boleh menang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!