Sembilan termasuk warga emas terperangkap atas bumbung

Mohd Fauzi menunjukkan lokasi individu yang terperangkap di atas bumbung sebuah rumah selama hampir empat jam di Kampung Kemin Tanjung, Jelebu, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Mohd Fauzi menunjukkan lokasi individu yang terperangkap di atas bumbung sebuah rumah selama hampir empat jam di Kampung Kemin Tanjung, Jelebu, Negeri Sembilan pada Sabtu.
A
A
A

JELEBU - Sembilan individu termasuk seorang warga emas yang sakit terlantar terpaksa berada di atas bumbung sebuah rumah di Kampung Kemin Tanjung di sini hampir empat jam selepas terperangkap dalam banjir pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kemin, Mohd Fauzi Sharib berkata, pada awalnya terdapat empat individu iaitu penghuni yang berumur antara 16 hingga 94 tahun.

Mereka terdiri daripada seorang wanita dengan anak lelakinya, bapa wanita berkenaan yang terlantar sakit dan pembantu rumah wanita.

"Sekitar maghrib saya sudah membuat pemantauan di kampung berikutan keadaan air yang semakin naik dan deras akibat hujan lebat, malah turut memberi amaran kepada penduduk berhubung situasi semasa.

"Bagaimanapun pada jam 10 malam, air mulai naik hampir satu meter dan empat penduduk kampung terperangkap dalam rumah," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Jelasnya, lima belia kampung tersebut berumur antara 20 hingga 3-0an kemudian tampil membantu menyelamatkan empat penduduk kampung terbabit.

"Namun, keadaan air makin lama naik begitu cepat dan keadaan itu menyukarkan mereka mengeluarkan kesemua mangsa.

"Jadi, mereka terpaksa naik atas bumbung rumah sementara menunggu bantuan daripada pasukan bomba dan penyelamat Jelebu tiba kira-kira jam 3.30 pagi,'' katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Fauzi, kesemua mangsa selamat, manakala warga emas berkenaan sudah dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

Pada Sabtu, tular di media Facebook seorang individu meminta jasa baik orang Kampung Kemin untuk menyelamatkan datuknya yang uzur bernama Yaakub Derani di sebuah rumah di kampung itu selain kediaman mereka terletak berhampiran sungai.

Turut dipaparkan menerusi hantaran sama adalah foto seorang warga emas yang hampir ditenggelami banjir.