Warga emas cedera dalam insiden tanah runtuh

Keadaan tanah runtuh Jalan Palimbayan Sungai Penchala di sini pada Sabtu.
Keadaan tanah runtuh Jalan Palimbayan Sungai Penchala di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas cedera selepas terkurung dalam sebuah rumah yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Jalan Palimbayan Sungai Penchala di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada jam 12.40 tengah malam.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian tersebut mendapati, mangsa yang berusia 70 tahun itu terkurung dalam salah sebuah rumah diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Amihizam berkata, mangsa hanya mengalami cedera ringan.

"Kita tidak pasti jumlah mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu, namun kesemua mangsa telah berpindah ke rumah saudara mara dan rakan-rakan sekitar Sungai Penchala," katanya.

Amihizam menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan tanah runtuh, orang ramai diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan, kira-kira lapan rumah di Kampung Palembayan Sungai Penchala di sini terjejas akibat tanah runtuh.

Artikel Berkaitan:

Kesemua penduduk itu melibatkan mereka yang tinggal di kawasan lereng bukit.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.