Kenyataan media sosial tanpa fakta tak boleh dibangkit di Dewan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-mana kenyataan yang dikemukakan berdasarkan laporan akhbar dan media sosial tanpa fakta yang kukuh tidak boleh dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, kata Yang Dipertuanya Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau membuat keputusan tersebut ketika mempengerusikan sesi perbahasan di persidangan Dewan Rakyat hari ini berikutan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan persoalan mengenai dakwaan penglibatan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Apabila ditegur mengenai dakwaan itu, Ismail Sabri yang sedang membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkata ia dibuat berdasarkan artikel oleh blogger kontroversi Raja Petra Kamarudin.

“Saya telah membuat ruling, jadi ruling itu perlu dipatuhi. Teruskan dengan isu lain. Tidak boleh ditimbulkan (kenyataan berdasarkan laporan akhbar dan media sosial tanpa bukti kukuh) dalam Dewan yang mulia ini.

“Dan kalau ditimbulkan Ahli Dewan yang lain, ruling saya tetap kekal. Perkara ini tidak boleh ditimbulkan kecuali ada bukti-bukti yang lain,” tegas Mohamad Ariff.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau ingin mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut sebelum dicelah RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mendakwa kenyataan tersebut menimbulkan sangkaan jahat.

“Saya merujuk kepada peraturan 36(6). Seseorang ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas mana-mana ahli dewan yang lain. Ini satu sangkaan jahat.

“Yang Berhormat Bera menggunakan kesempatan berbahas untuk membuat sangkaan jahat terhadap Menteri Kewangan dan ini merupakan satu kesalahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang tidak menarik balik kenyataan tersebut dibenarkan meneruskan perbahasan dengan topik lain.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.