Agong sifatkan banjir di ibu negara ibarat tragedi 1971

Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru pada Ahad. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru pada Ahad. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad menyifatkan senario banjir yang melanda ibu negara malam tadi, seolah-olah sama dengan banjir besar yang berlaku pada 1971.

Seri Paduka Baginda bertitah selepas 50 tahun peristiwa tersebut, rakyat Malaysia perlu mengambil teladan untuk bersiap sedia terutamanya pada bulan Disember dan Januari, yang memperlihatkan impak banjir yang seperti berulang.

Seri Paduka bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli turun padang membuat lawatan peribadi menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, kira-kira 11:30 pagi tadi.

Dalam lawatannya, Seri Paduka menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berpesan supaya terus bersabar dengan keadaan yang berlaku.

“Saya masih meninjau keadaan semasa ke semasa dan dalam pada itu, saya ingatkan supaya terus bersabar dan terima (musibah banjir) dengan keredhaan Allah.

“Jagalah kesihatan, jaga anak-anak semua,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga berharap supaya pihak kerajaan dapat menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada semua mangsa yang terlibat. - Bernama

Artikel Berkaitan: