Sila log masuk terlebih dahulu.

Operator kilang dikhuatiri lemas dihanyut arus deras banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang operator kilang dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras banjir di Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Mohd Halmi Nazlan, 34, dari Kampung Kuala Pahang di sini, dikatakan hilang pada jam 1 pagi Ahad, semasa dalam perjalanan ke Pekan.

"Mangsa difahamkan menaiki kereta bersama seorang rakan dan mereka cuba menyelamatkan diri apabila terperangkap banjir namun mangsa dikatakan gagal dikesan selepas itu," katanya semasa dihubungi di sini pada Ahad.

Rakan mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan 10 pegawai dan anggota polis dan bomba, menggunakan dua bot dan masing-masing sebuah lori serta pacuan empat roda.

Kejadian ini merupakan kejadian hilang kedua dalam tempoh 24 jam, selepas seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental masih belum dijumpai selepas dikatakan terjun di Jambatan Sri Damai di sini pada 12.25 tengah hari Sabtu. - Bernama

Artikel Berkaitan: