'Tahniah GPS, harap jadi rakan akrab BN pada PRU15'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan tahniah kepada Gabungan Parti Sarawak ( GPS) yang diketuai Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12), pada Sabtu.

Ahmad berkata, kemenangan 75 kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) oleh parti GPS diharap berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Sebelum penamaan calon pada PRN Sarawak, saya bersama Naib Presiden Datik Seri Khaled Nordin dan beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bertemu Abang Johari di Kuching.

"GPS merupakan bekas kompenan Barisan Nasional (BN), maka UMNO amat gembira dengan kemenangan besar GPS. Ia adalah mandat rakyat cukup hebat dan berharap wakil rakyat dipilih dapat tunjukkan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat," katanya ketika ditemui selepas Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Pontian di Benut di sini, pada Ahad.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO berharap GPS akan menjadi rakan akrab BN pada PRU15 nanti.

"Pada PRU15, Sarawak akan menyaksikan pemilihan di peringkat Parlimen. Terdapat 31 kerusi Parlimen di Sarawak yang mana pada PRU14, di bawah BN parti kompenan GPS mendapat 18 kerusi Parlimen ketika itu.

"Melihatkan kepada prestasi dan usaha GPS pada PRN Sarawak kali ini, saya yakin GPS mampu mendapat lebih 18 kerusi Parlimen pada PRU15 nanti. UMNO berharap GPS bersama dengan BN selepas PRU15," katanya.

GPS dibentuk pasca PRU14 susulan kekalahan kerajaan BN dalam pilihan raya itu yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menguasai Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Jun 2018, empat parti tempatan Sarawak, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengumumkan keluar daripada BN, sekali gus membentuk GPS.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya, (SPR) mengumumkan GPS menang 75 kerusi manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) 4 kerusi dan DAP 2 dalam PRN Sarawak.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada malam Sabtu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak, selepas gabungan empat parti itu memenangi PRN Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: GPS menang majoriti mudah, bentuk kerajaan negeri: SPR