Lelaki hilang ditemui selamat

Mangsa hilang ketika sedang berubat penyakit misteri

Mangsa (tengah) ditemui orang kampung ketika sedang mandi sungai di Kampung Air Musang, Gerik pada jam 2.30 petang semalam
Mangsa (tengah) ditemui orang kampung ketika sedang mandi sungai di Kampung Air Musang, Gerik pada jam 2.30 petang semalam
A
A
A
INFO: Mangsa ditemui sedang mandi sungai di Kampung Air Musang

GERIK - Gara-gara melarikan diri daripada berubat sakit mistik, seorang pemuda hilang semalaman di dalam hutan belakang rumah keluarganya di Hutan Tanjung Kekabu, Pahat, di sini sebelum ditemui semula petang semalam.

Mangsa, Muhammad Farid Mohammad, 28, yang merupakan seorang penganggur dari Tanah Merah, Kelantan, difahamkan memberi alasan untuk ke tandas sewaktu proses berubat sebelum dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, polis ada menerima maklumat daripada ahli keluarga mangsa memaklumkan mangsa datang ke rumahnya di Kampung Tanjung Kekabu Pahat, di sini kerana mahu berubat sakit mistik.

Menurutnya, semasa proses berubat berlangsung lebih kurang jam 4 petang kelmarin, mangsa dipercayai hilang setelah melarikan diri ke dalam hutan belakang rumah pengadu.

"Susulan itu, pengadu dan penduduk kampung telah berusaha menjejaki mangsa sehingga lewat malam namun gagal ditemui.

"Berikutan itu, pihak kami dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dengan kekuatan anggota keseluruhan 23 orang dibantu 15 orang awam telah menubuhkan satu pasukan mencari dan mengesan mangsa bermula dari lokasi terakhir mangsa ditemui," katanya kepada media di sini, semalam.

Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu dimulakan pada jam 8 pagi dengan menumpukan kawasan tinggalan mangsa dan kawasan berhampiran sumber air.

Menurutnya, pencarian mangsa diteruskan sehingga jam 2.30 petang apabila pihaknya menerima maklumat mangsa yang hilang ditemui sedang mandi sungai di Kampung Air Musang, di sini.
Artikel Berkaitan:


"Sewaktu ditemui, mangsa berada dalam keadaan sihat, namun terdapat kesan calar di badan akibat tidak memakai baju.

"Ketika ini, mangsa masih berada di rumah pengadu dan disyaki mempunyai masalah mental," katanya.