Isu LGBT: Kerajaan Perak nyata pendirian

Tidak akan promosikan perkara berkenaan

Ahmad Faizal (tengah) ketika menyaksikan perjanjian bagi perkhidmatan Hop On Op Off (Hoho) antara Tourism Perak.
Ahmad Faizal (tengah) ketika menyaksikan perjanjian bagi perkhidmatan Hop On Op Off (Hoho) antara Tourism Perak.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak tidak menerima secara terbuka segala unsur berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), yang hangat diperkatakan hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya juga tidak akan mempromosikan perkara berkenaan yang jelas bertentangan dengan norma peradaban masyarakat.

“Kita tidak menerima secara terbuka unsur-unsur LGBT dan kita tidak mempromosikan perkara itu. Tapi kita didik rakyat kita bahawa ada had atau batasan di negara kita ikut perlembagaan rukun negara dan undang-undang,” katanya bagi mengulas berhubung pendirian Kerajaan Perak terhadap golongan LGBT di negara ini.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian bagi perkhidmatan Hop On Op Off (Hoho) antara Tourism Perak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Zuraida Md Talib dan CEO Perak Transit, Datuk Cheong Peak Sooi (Hoho), di pejabatnya hari ini.

Sementara itu bagi mengulas kemungkinan berlakunya lantikan pegawai yang mungkin melibatkan golongan berkenaan (LGBT) dalam pentadbiran kerajaan, Ahmad Faizal berkata, setakat ini pihaknya tidak memiliki masalah sedemikian di peringkat pentadbiran kerajaan negeri.

Malah katanya, pihaknya juga tidak pernah memikirkan soal bangsa atau agama individu atau pegawai yang akan dilantik.

“Waktu mula-mula saya membawa nama-nama untuk diperkenankan Sultan Perak sebagai sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri tak tengok daripada segi ‘itu,’ malah saya langsung tidak memikirkan apa bangsa, agama seseorang itu untuk kita ambil perhatian sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Tetapi kita lihat kepada komitmen serta kepakaran mereka bagi memberikan khidmat kepada rakyat bukan kepada perkara yang selain daripada itu dan dalam masa sama kita faham tentang halangan-halangan yang ada pada diri kita yang hidup di Malaysia yang berpegang kuat pada rukun negara dan undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan: