Mayat wanita berselimut 'pink' ditemui tepi jalan

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan terbaring di tepi Jalan Selayang - Ulu Yam Baru dari arah Batang Kali pada jam 8.30 pagi, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mayat tersebut ditutup dengan sehelai kain selimut warna merah jambu serta sehelai kain warna putih sewaktu ditemui.

Menurut beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri milik si mati dijumpai di tempat kejadian.

"Wanita berkenaan memakai baju bercorak batik warna merah, hitam dan putih serta berseluar panjang petak petak warna coklat.

"Wanita tersebut dipercayai warga asing susulan tiada tanda suntikan BCG," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Tambah Zainal Mohamed, pemeriksaan fizikal pada badan wanita itu mendapati terdapat kesan lebam di bahagian dan kesan bengkak di dahi.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan lain di tubuh badan si mati. Mayat telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diketahui dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP R Kolanthaivelu bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: