Beberapa laluan lebuh raya di Lembah Klang terhalang, plaza tol ditutup

Suasana di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan yang telah ditenggelami air sehingga tidak boleh dilalui oleh kenderaan susulan limpahan air dari Sungai Damansara ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Suasana di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan yang telah ditenggelami air sehingga tidak boleh dilalui oleh kenderaan susulan limpahan air dari Sungai Damansara ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa laluan lebuh raya di Lembah Klang terhalang sejak tengah hari tadi selain beberapa plaza tol turut ditutup, berikutan banjir akibat hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

Keadaan itu menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan terkandas.

Hasil semakan di Twitter rasmi info trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati lebuh raya dan plaza tol yang terlibat adalah Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Plaza Tol Shah Alam serta Plaza Tol Bukit Raja.

Maklumat terkini setakat jam 6.07 petang tadi menunjukkan, banjir di NKVE kilometer (KM) 8.3 arah Selatan dari Shah Alam ke Setia Alam menyebabkan semua lorong masih terhalang, namun laluan keluar mandatori diaktifkan melalui Plaza Tol Subang.

Selain itu, semua lorong NKVE KM 8.3 arah Utara dari Setia Alam ke Shah Alam turut terhalang.

Bagi Elite pula, semua lorong di KM 3.0 arah Utara dari Seafield ke Shah Alam serta KM 3.0 arah Selatan dari Shah Alam ke Seafield terhalang, justeru, pengguna jalan raya perlu menggunakan laluan alternatif.

Semua lorong masuk di Plaza Tol Bukit Raja ditutup berikutan banjir di KM 8.7 arah utara dari Setia Alam ke Shah Alam sejak jam 3.36 petang tadi, manakala semua lorong di Plaza Tol Shah Alam turut ditutup sejak jam 2.29 petang.

Sementara itu, beberapa wartawan Bernama turut terkandas di beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang ketika sedang membuat liputan banjir.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan tinjauan Bernama di LebuhRaya Persekutuan, di sini, puluhan kenderaan terkandas digenangi air susulan hujan lebat sejak tengah hari semalam serta tidak dapat bergerak.

Turut terjejas banjir adalah di sekitar Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru dan berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Ipoh.

Paras air di Sungai Gombak juga dilihat hampir melimpah berikutan hujan yang berterusan.

Di Shah Alam, tinjauan Bernama mendapati, jalan-jalan yang menghubungkan Setia Alam dengan Bandar Bukit Raja dan Meru masih ditenggelami air sehingga setinggi dua meter di beberapa tempat.

Kedai-kedai runcit dan serbaneka juga didapati mengalami kesesakan yang agak luar biasa susulan ramai penduduk membeli barangan makanan dan keperluan kerana bimbang situasi banjir pada Sabtu akan berlarutan.

Di USJ, aliran trafik di lebuh raya NKVE menuju ke Shah Alam terpaksa dilencongkan di susur keluar 104 Subang susulan banjir di atas lebuh raya itu. - Bernama