Bawa bekas isteri, anak edar dadah

Anbalagan (dua, kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A

BALIK PULAU - Seorang lelaki berusia 42 tahun yang membawa anak dan bekas isterinya untuk mengedar dadah ditahan dalam serbuan di Tingkat Teluk Kumbar, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika serbuan dibuat jam 3.30 petang, mereka bersama dua orang lagi rakan sedang menunggu pelanggan membeli dadah di tepi jalan.

Hasil pemeriksaan di dalam kereta jenis Kia Sephia yang dinaiki mereka menemui 664.5 gram (g) heroin dan 407.3 9(g) syabu bernilai RM87, 600.

"Dalam serbuan itu, kita menemui beg hitam mengandungi 17 plastik lutsinar berisi heroin seberat 214.5(g) dan empat plastik mengandungi syabu seberat 100.7(g).

"Kita turut menyerbu sebuah rumah di Kampung Jawa, Perai jam 10 malam dan menemui 450(g) heroin serta 306.6(g) syabu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, lelaki itu didapati sudah bercerai sejak dua tahun lalu namun dipercayai masih berhubung dengan bekas isterinya untuk menjalankan aktiviti mengedar dadah

Menurutnya, bekas isterinya berusia 33 tahun itu bekerja di sebuah kilang dan rumah di Perai yang diserbu polis adalah milik wanita terbabit dan dijadikan lokasi menyimpan bekalan dadah.

"Dua lagi suspek lelaki berusia 45 serta 37 tahun yang ditahan berada dalam kereta terbabit dikesan baru dibebaskan dari penjara.

"Semua suspek iaitu tiga lelaki dan wanita berkenaan didapati memiliki rekod kesalahan lampau berhubung kes dadah dengan seorang daripadanya turut dikehendaki polis," katanya.

Anbalagan berkata, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah manakala wanita pula bebas daripada pengaruh dadah.

Katanya, remaja lelaki berusia 13 tahun yang ditahan didapati turut bebas daripada pengaruh dadah dan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijaga.

Semua empat suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.