Proton Perdana ADUN Buntong dicuri

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Baru dua jam ditinggalkan, kereta Proton Perdana V6 milik ADUN Buntong, A Sivasubramaniam hilang di kawasan tempat letak kenderaan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa meninggalkan keretanya dalam keadaan berkunci kira-kira jam 3 petang untuk ke pejabatnya.

“Pada jam 4.30 petang semasa mangsa hendak mengambil semula keretanya, didapati kenderaannya telah hilang.

“Malah, dokumen-dokumen berkaitan kerjanya sebagai Ketua Penyelaras Unit Hal Ehwal Bukan Islam turut dilarikan menyebabkan mangsa kerugian lebih kurang RM15,000,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati tempat kejadian adalah kawasan berpagar bangunan kerajaan.

“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian namun terdapat pengawal keselamatan di situ namun, dia tidak menyedari kejadian itu.

“Siasatan lanjut mendapati kereta peribadi mangsa tidak mempunyai Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan hanya dikunci secara pengunci stereng selain tiada kunci tambahan,” katanya.

Mazuki berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan.

Artikel Berkaitan: