Nahas Lebuhraya Elite: Tiada kompromi jika syarikat langgar ICOP

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak akan berkompromi dengan syarikat yang terlibat kemalangan di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, jika didapati melanggar peraturan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, peraturan tersebut adalah Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

Beliau berkata, pelanggaran syarat itu mampu mewujudkan risiko keselamatan kepada pemandu lain, pejalan kaki dan orang awam secara amnya.

"Sekiranya syarikat yang terlibat dalam kemalangan itu didapati telah melanggar keperluan ICOP mereka, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengeluarkan perintah untuk menggantung atau membatalkan lesen pengendali syarikat berkenaan.

"MOT tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi ICOP dengan alasan munasabah dan telah melanggar syarat lesen pengendali," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 maut kemalangan babit tiga kereta, sebuah treler

'Banyak kali hubungi anak, akhirnya bomba jawab'

Kereta dinaiki 9 beranak maut dirempuh treler ketika 'jumper' bateri

Artikel Berkaitan:

Nahas Lebuhraya Elite: PM ucap takziah

Pada Jumaat, 10 maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam.

Ka Siong berkata, semua pihak berkuasa berkaitan di bawah MOT termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang menyiasat kejadian tersebut secara terperinci untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan kemalangan tragis itu berlaku.

"Laporan daripada penyiasatan ini nanti termasuk laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ akan diserahkan secepat mungkin kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"MOT ingin merakamkan rasa kesal dan sedih berhubung kemalangan tragis yang berlaku di lorong kecemasan Lebuhraya Elite menghala ke Shah Alam berhampiran kawasan R&R USJ lewat malam tadi.

"MOT amat berdukacita dengan kejadian tersebut di mana sebuah lori treler merempuh tiga buah kereta yang berhenti di lorong kecemasan sehingga meragut 10 nyawa termasuk seorang ibu dan lapan orang anaknya," kata beliau.