PRU15: UMNO Terengganu dapat ‘lampu hijau’ bertanding secara solo

Nik Dir
Nik Dir
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Keputusan UMNO Terengganu untuk bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada kepimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, setakat ini Terengganu menjadi negeri tunggal yang mendapat kelebihan bertanding secara solo tanpa perlu melibatkan Pas sebagai rakan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Menurut beliau, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang pada Mac lalu dan sehingga kini kebenaran bertanding di semua kawasan tersebut masih kekal serta tidak berubah.

“Saya fikir tidak timbul soal akur atau tidak dengan ketetapan Pusat nanti kerana MKT secara jelas telah memberi lampu hijau kepada UMNO Terengganu bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen, jadi tidak timbul isu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Terengganu Equestrian Resort (TER), di sini pada Sabtu.

Seramai 1,200 perwakilan menyertai mesyuarat tersebut dengan 636 hadir secara fizikal manakala selebihnya secara maya.

UMNO Terengganu sebelum ini pernah menyatakan pendirian akan bertanding di semua 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen dalam PRU15 berikutan dakwaan tiada kerjasama MN di negeri ini.

Sementara itu Nik Dir berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijangka dapat merampas kembali Terengganu daripada Pas dengan sasaran kemenangan melebihi 16 kerusi bagi membolehkan parti itu membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, antara kawasan yang dijangka dapat dimenangi semula UMNO adalah kerusi tradisi parti itu di Pengkalan Berangan dan Alor Limbat di Marang.

“Dalam keadaan sekarang dengan kerakusan kerajaan Pas, kita yakin dapat merampas semula Terengganu daripada Pas dalam PRU15 nanti,” katanya.