Saifuddin hadiri Mesyuarat Khas OIC bincang isu Afghanistan

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

ISLAMABAD - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah tiba di sini, pada Sabtu bagi menghadiri Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dijadual diadakan pada Ahad.

Saifuddin yang mengetuai delegasi Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad dan disambut oleh jawatankuasa protokol diketuai Menteri Pengeluaran (Production) Pertahanan, Zubaida Jalal Khan.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shah Mahmood Qureshi pada Sabtu sebelum menyertai perbincangan meja bulat mengenai kewujudan bersama secara aman di Universiti Antarabangsa Riphah.

Sementara itu, pada Sesi Luar Biasa CFM ke-17, Saifuddin dijangka menyampaikan ucapan yang antara lain mengetengahkan mengenai iltizam Malaysia dalam membantu situasi kemanusiaan di Afghanistan dan mengulangi sokongan untuk penyelesaian yang aman dan berkekalan demi kepentingan Afghanistan serta rakyatnya.

Arab Saudi, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC telah menggesa Sesi Luar Biasa itu diadakan bertujuan membincangkan situasi kemanusiaan di Afghanistan dan Pakistan menawarkan diri menjadi tuan rumah mesyuarat itu.

Mesyuarat khas itu dijangka meluluskan satu pernyataan sebagai rumusan akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan: