Kerajaan tidak tentukan 'turun naik' pasaran saham

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak mengawal pergerakan dalam pasaran saham tetapi faktor penawaran dan permintaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, turun naik dalam pasaran saham merupakan situasi normal dan bergantung kepada keadaan pasaran di peringkat domestik dan global.

“Asas kita kukuh jika dilihat kepada angka dari segi kadar pertumbuhan, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merosot, tahap eksport dan lebihan dagangan yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan Bank Pembangunan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang menyatakan pasaran saham Malaysia adalah satu-satunya di Asia yang susut setakat tahun ini.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2018. Pada Isnin, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang mengunjurkan kadar pertumbuhan yang sama bagi 2019, turut memuji ekonomi negara yang berdaya tahan.

Inflasi Malaysia, seperti yang diukur oleh IHP, susut 0.7 peratus pada Januari 2019 berbanding tahun sebelumnya. Penurunan itu merupakan yang pertama sejak November 2009 apabila IHP merosot 0.1 peratus.

Beliau berkata, menambah kepada angka yang menggalakkan itu ialah data pelaburan langsung asing (FDI) negara yang akan dikeluarkan esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: