X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Terap pendidikan tauhid dalam diri anak-anak

Idris ketika menjadi penceramah jemputan dalam program World #QuranConvention 2.0 ‘Fatherless Homes’ dengan topik ‘Peranan Ayah: Didik Tauhid’ yang bersiaran secara hibrid pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan tauhid perlu diterapkan dalam diri anak-anak kerana ia menjadi asas yang membolehkan mereka sentiasa berada di landasan mengikut Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, sekiranya anak-anak dididik dengan tauhid, secara tidak langsung mereka dapat membina karakter dan tingkah laku yang baik seperti beramal soleh dan berakhlak mulia.

“Apabila kita lihat lahirnya akhlak Islam dan peribadi Muslim, ia mesti berteraskan kepada tauhid.

“Jadi, apabila kita mendirikan peribadi atas dasar tauhid, insya-ALLAH walau di mana sahaja anak kita berada, mereka akan sentiasa bersikap jujur, malah dapat membina karakter yang baik. Ini kerana mereka tahu setiap perilaku dan pergerakan mereka, ALLAH SWT akan sentiasa memerhatikannya menyebabkan dia takut untuk melakukan perkara tidak baik.

"Sebab itu pentingnya soal pendidikan tauhid kerana ia merupakan asas kepada segala-galanya. Tetapi, kalau akhlak ini tidak dibina atas dasar tauhid, ia tidak menjadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi penceramah jemputan dalam program World #QuranConvention 2.0 ‘Fatherless Homes’ dengan topik ‘Peranan Ayah: Didik Tauhid’ yang disiarkan secara hibrid pada Sabtu.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinerginya iaitu Islamic Tourism Center, Sinar Harian, TV Alhijrah dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berlangsung selama dua hari bermula Sabtu menerusi platform Zoom dan Facebook Quran Hour serta Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Idris berkata, ayah memainkan peranan untuk melaungkan azan dan iqamat terhadap anak-anaknya yang baru lahir.

“Jadi mereka (anak-anak) sudah dibesarkan dalam suasana tauhid. Cuma kita perlu mengajarkan mereka supaya taat terhadap perintah ALLAH SWT dan menghormati kita sebagai ibu bapa.

“Mereka perlu sentiasa mengekalkan peribadi di atas asas tauhid ini. Menjadikan di mana saja mereka berada, mereka akan menjaga akhlak, peribadi dan pergaulan mereka,” ujarnya.

Selain itu, katanya, pentingnya pendidikan tauhid adalah kerana ia dapat menjelmakan dalam bentuk praktikal dan bukan hanya berbicara dalam bentuk retorik semata-mata.

“Kita berharap ibu bapa terutama ayah supaya didiklah anak-anak berteraskan kepada tauhid untuk menjadikan mereka insan yang soleh dan solehah. Apabila mereka berkawan, mereka mempunyai akhlak yang baik.

“Apabila mereka berkeluarga, mereka juga akan menjadi seorang suami yang soleh dan isteri yang solehah,” ujar Idris.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!