Bukan rezeki Zii Jia

Langkah Zii Jia tersekat di peringkat suku akhir Kejohanan Dunia kali ini.
Langkah Zii Jia tersekat di peringkat suku akhir Kejohanan Dunia kali ini.
A
A
A

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menutup tirai 2021 dengan satu lagi episod duka apabila dibelenggu masalah kecederaan.

Tampil berdepan pemain Denmark, Anders Antonsen dalam aksi suku akhir Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol pada Sabtu, Zii Jia terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada tapak kaki.

Selepas menang 21-12 di set pertama, kecederaan kaki kanan Zii Jia ternyata menjejaskan rentak permainannya sehingga tewas 8-21 di set kedua sebelum dia menarik diri ketika ketinggalan 1-11 dalam set penentuan.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, ZIi Jia mengalami kecederaan berkenaan sejak aksi pusingan ketiga berdepan seorang lagi pemain Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus.

“Selepas bermain dengan Vittinghus, kaki dia melecet sehingga berdarah. Selepas itu kita cuba lakukan rawatan tetapi pada sebelah pagi Zii Jia beritahu dia masih rasa sakit.

“Kami cuba balut bagi mengurangkan rasa sakit. Ketika set pertama (menentang Antonsen), dia masih boleh bermain tetapi set kedua sudah tidak boleh.

“Selepas tamat set kedua, nampak ada keluar darah lagi dan minta doktor balut lagi tetapi masih sakit, dia sudah cuba semaksimum yang boleh,” katanya.

Pada November lalu, Zii Jia menarik diri di set ketiga ketika menentang pemain Singapura, Loh Kean Yew dalam aksi final Terbuka Hylo di Jerman ekoran kecederaan pinggang.

Artikel Berkaitan:

Seminggu kemudian, skrip sama berulang apabila juara Seluruh England 2021 terpaksa menarik diri seawal pusingan pertama Masters Indonesia di Bali ketika menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke.