Kerjasama MN: UMNO Kelantan tidak mahu 'gantung tak bertali'

Ahmad Jazlan (kiri) beramah mesra dengan perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Machang di Pusat Informasi Maklumat, Bukit Tiu, Machang pada Sabtu.
Ahmad Jazlan (kiri) beramah mesra dengan perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Machang di Pusat Informasi Maklumat, Bukit Tiu, Machang pada Sabtu.
A
A
A

MACHANG - UMNO Kelantan mahu mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi Pas bagi membincangkan hala tuju kerjasama antara kedua-dua pihak menerusi Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya akan mengutuskan surat kepada pimpinan tertinggi parti itu dalam masa terdekat supaya dapat duduk semeja bagi membincangkan perkara tersebut.

"Kami mahu jawapan dengan segera supaya tidak timbul soal 'gantung tidak bertali' dalam kerjasama MN ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Machang di Pusat Informasi Maklumat, Bukit Tiu di sini pada Sabtu.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, keputusan itu penting kerana UMNO Kelantan perlu membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, UMNO Kelantan juga tidak mahu sekiranya tiada muafakat dibentuk apabila PRU15 diadakan nanti.

Malah, katanya, UMNO akan memberikan masa kepada Pas untuk membuat keputusan mengenai hala tuju tersebut.

"Sebarang keputusan hasil pertemuan itu sama ada berlangsung atau tidak tetap akan dimaklumkan kepada Presiden UMNO.

"Sekiranya, tidak ada persetujuan mengenai MN dicapai, UMNO Kelantan memohon kepada Presiden bagi memberikan keizinan untuk membentuk hala tuju sendiri," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Jazlan yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk berpisah dengan Pas.

"Namun, sekiranya parti itu mengambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ini bermakna mereka meninggalkan pihak kita terlebih dahulu.

"Kepada rakyat Kelantan, ingin saya jelaskan bahawa bukan kita ingin memusnahkan hubungan dibina atas linangan jutaan air mata rakyat seluruh negara yang cintakan perpaduan," kata beliau.