UMNO Pasir Gudang kemuka tiga usul

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

PASIR GUDANG - UMNO Bahagian Pasir Gudang meluluskan tiga usul iaitu menggesa kerajaan menggubal Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan UMNO bertanding di Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Usul berkenaan diluluskan dalam Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya, Johor Jaya di sini pada Sabtu.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usul itu dikemukakan selepas menyedari ketidakstabilan dan kekacauan politik tanah air akibat tindakan melompat parti yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Menurutnya yang juga Naib Presiden UMNO, tindakan itu bukan sahaja mengkhianati parti yang diwakili tetapi mengetepikan mandat rakyat yang sememangnya tidak beretika dan bercanggah dengan prinsip demokrasi.

"UMNO tidak mahu hal sebegini berulang lagi dalam PRU15. UMNO hanya mahukan yang terbaik demi bangsa, agama dan negara," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan bahagian tersebut.

Beliau berkata, usul kedua supaya segera diadakan PRU15 kerana mahukan kestabilan politik yang merupakan prasyarat penting untuk sesebuah negara terus membangun dan berdaya saing.

"Bagi Malaysia, kestabilan politik amat penting atas beberapa faktor seperti negara sedang berdepan Covid-19 yang memerlukan fokus dan kerjasama semua pihak tanpa diganggu perbalahan politik dan lebih teruk, sabotaj atau khianat didorong kepentingan diri," katanya.

Mengenai usul ketiga, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO bahagian berpendirian kerusi Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas dikekalkan kepada UMNO manakala DUN Johor Jaya diberikan kepada parti komponen BN.

Artikel Berkaitan:

"UMNO bahagian juga dengan penuh keyakinan, kesedaran dan keinsafan akan bergerak tanpa gandingan mana-mana parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH)," katanya.