Kereta dinaiki 9 beranak maut dirempuh treler ketika 'jumper' bateri

Razatul Aliah (kanan) bersama ahli keluarga lain yang maut dalam insiden tersebut.
Razatul Aliah (kanan) bersama ahli keluarga lain yang maut dalam insiden tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Salah seorang mangsa maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuh Raya Elite menghala Shah Alam pada Jumaat merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sekyen 24 (2) di sini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sekyen 24 (2), Mohd Syariffuddin Rahmat berkata, pelajar berkenaan ialah Razatul Aliah Abdul Razak.

Menurutnya, kemalangan tragis meragut 10 nyawa termasuk lapan adik-beradik itu diketahui melalui ibu saudara mangsa yang merupakan salah seorang staf di pejabatnya.

"Ibu saudara mangsa memohon cuti kecemasan kerana ada urusan kematian sebelum menjelaskan kejadian tersebut.

"Turut maut dalam kejadian itu adalah ibu mangsa, tujuh beradik mangsa serta seorang lagi orang awam yang berada di lokasi kejadian, " katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:10 maut kemalangan babit tiga kereta, sebuah treler

Bomba kenal pasti 10 identiti mangsa maut

Mengulas lanjut, beliau dimaklumkan, keluarga tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Padang Jawa di sini dari kampung mereka di Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Kereta Proton Wira dipandu bapa mangsa mengalami masalah bateri rosak menyebabkan mereka tersadai di lorong kecemasan lokasi kejadian.

"Disebabkan keadaan hujan, hanya bapa mangsa yang keluar daripada kereta untuk memohon bantuan. Beberapa kereta berhenti untuk menghulurkan bantuan 'jumper' bateri dan ketika itulah sebuah lori merempuh kenderaan mangsa," kongsinya.

Mohd Syariffuddin
Mohd Syariffuddin

Katanya, bapa mangsa yang berada di luar kenderaan terselamat dalam insiden tersebut.

Ujarnya, beliau mengenali keluarga mangsa yang merupakan salah seorang keluarga B40 yang tersenarai sebagai penerima tabung bantuan Covid-19 sekolah tersebut.

"Ada beberapa kali keluarga ini menerima bantuan tersebut. Kami tahu kepayahan keluarga ini dan apabila permohonan diterima kita tetap bantu. Mereka juga turut menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor," katanya.

Beliau yang juga YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Seksyen 24 berkata, pada Khamis salah seorang guru yang berkhidmat di SK berkenaan turut terlibat kemalangan di Bentong yang meragut nyawa dua anaknya sementara suaminya masih dalam unit rawatan rapi (ICU).

"Dua hari berturut-turut kami mendapat perkhabaran duka. Justeru, saya mewakili pihak sekolah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan ketabahan menghadapi ujian tersebut," katanya.