KKM kesan 11 lagi kes varian Omicron

Semua kes yang dikesan membabitkan varian berkenaan mendapat jangkitan dari luar negara. - Gambar hiasan
Semua kes yang dikesan membabitkan varian berkenaan mendapat jangkitan dari luar negara. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 11 lagi kes varian Omicron di Malaysia yang kesemuanya kes import dari lima negara menjadikan jumlah kumulatif varian itu di negara ini kepada 13 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, tiga kes adalah dari United Kingdom, Amerika (tiga), Nigeria (dua), Arab Saudi (dua) dan Australia (satu).

“Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes,” katanya.

Menurutnya, daripada 11 kes yang disahkan varian Omicron itu sembilan kes melibatkan warganegara Malaysia manakala dua kes adalah warganegara Nigeria.

"Lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori dua manakala tiga lagi kes tidak bergejala. Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.

"Kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat," ujarnya.

Beliau berkata, 11 kes yang disahkan varian Omicron pada Sabtu merupakan sebahagian daripada 18 kes yang disyaki Omicron seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar Khamis lalu.

“Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandangkan ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan. Ini disebabkan tahap ‘viral load’ yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada Jumaat 17 Disember.

"Justeru dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan di dalam komuniti.

"KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan pandemik berkenaan," jelasnya. - Bernama