UMNO Sabah mahu pemimpin Pusat bersatu perkukuh parti

Bung Moktar dalam sidang akhbar selepas menyempurkankan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan.
Bung Moktar dalam sidang akhbar selepas menyempurkankan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - UMNO Sabah mahu pemimpin UMNO di peringkat Pusat bersatu bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan dan tempat di hati rakyat.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dalam UMNO sendiri tidak boleh berlaku pertelagahan sesama pemimpin kerana ia akan melemahkan parti dan semangat perjuangan di peringkat akar umbi.

"Justeru, kita beranggapan bahawa semua pemimpin-pemimpin tertingi parti UMNO harus menyedari bahawa mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab penting untuk memperkukuhkan parti dan bukannya memecahbelahkan parti.

"Ini mesej amat jelas bahawa UMNO Sabah berkehendakkan UMNO Pusat bersatu untuk memastikan bahawa UMNO akan terus mendapat sokongan dan mendapat tempat di hati rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Sabtu.

Sebelum itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO memaklumkan bahawa UMNO di semua Bahagian di Sabah telah mengetengahkan beberapa usul secara serentak untuk dibahaskan.

"UMNO Bahagian-Bahagian di seluruh Sabah, kita telah mengetengahkan beberapa usul serentak untuk memperkasakan parti dan memperkasakan (kedudukan) Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

"Usul itu akan dibentang dan dibahaskan secara terperinci bagaimana untuk memperkasakan parti dan pemimpin," katanya.

Sebelum itu, antara usul yang turut dikemukakan dalam mesyuarat itu, adalah menjunjung institusi kepartian dan terus menyokong padu institusi Presiden yang dipayungi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempimpin UMNO.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, menyokong penuh Bung Moktar sebagai Ketua UMNO Sabah sebagai peneraju utama bagi UMNO Sabah dan memberi kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan tertinggi UMNO Malaysia.

Usul lain turut menyebut memformulasikan budaya kebersamaan dalam gerak kerja pilihan raya di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Pusat Daerah Mengundi (PDM) ddan peringkat lokaliti serta memperkasakan parti dan kesiapsiagaan seluruh jentera UMNO di semua peringkat.