Memorandum desak kerusi Parlimen Alor Setar diserahkan kepada UMNO

Mohd Yusof (kiri) turut menandatangani memorandum mendesak kerusi Parlimen Alor Setar diserahkan kepada calon daripada UMNO pada Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Alor Setar pada Sabtu.
Mohd Yusof (kiri) turut menandatangani memorandum mendesak kerusi Parlimen Alor Setar diserahkan kepada calon daripada UMNO pada Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A
ALOR SETAR - Kira-kira 570 perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di sini pada Sabtu menandatangani memorandum menggesa kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon daripada UMNO untuk bertanding kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, sehingga kini memorandum itu ditandatangani semua peringkat kepimpinan akar umbi UMNO Bahagian Alor Setar yang menyatakan sokongan supaya calon BN di Parlimen Alor Setar adalah daripada UMNO.

Beliau menegaskan, ia susulan MCA yang mewakili BN kalah sebanyak dua kali iaitu pada PRU13 dan PRU14 di kerusi berkenaan berikutan jumlah sokongan pengundi Cina semakin berkurangan terhadap calon daripada parti itu.

"Bersesuaian dengan peratusan pengundi Melayu yang melebihi 64 peratus, maka ia perlu menjadi alasan kukuh untuk BN meletakkan calon daripada UMNO yang mewakili bangsa Melayu tanpa mengabaikan kepentingan bangsa lain.

"Kekalahan calon BN daripada MCA pada PRU13 dan PRU14 menyebabkan segala perancangan pembangunan serta sosial untuk masyarakat khususnya orang Melayu yang memiliki populasi paling ramai dalam Parlimen Alor Seta, terbantut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini pada Sabtu.

Mohd Yusof juga melahirkan kebimbangan BN akan terus kalah di kerusi berkenaan sekiranya calon daripada MCA diletakkan.

"Kita merasakan MCA tidak bersedia untuk bertanding serta tidak memiliki calon sesuai sedangkan UMNO Bahagian Alor Setar memiliki barisan calon berwibawa," ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu amat merugikan masyarakat dalam Parlimen Alor Setar untuk mendapat khidmat terbaik wakil rakyat selain terpinggir dari arus pembangunan dan sosial.
Artikel Berkaitan:


Malah, pihaknya turut melihat bagaimana tersisihnya masyarakat dalam Parlimen Alor Setar dari segi kebajikan dan pembangunan sejak dua penggal Parlimen Alor Setar diwakili wakil rakyat bukan daripada BN.

Bagaimanapun, katanya, MCA tidak perlu bimbang untuk melepaskan kerusi tradisi mereka itu kepada UMNO kerana yang penting matlamat untuk mencapai kemenangan bagi menambah kerusi BN.

"Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong melibatkan kerusi tradisi MCA sebelum ini yang juga mengalami dua kali kekalahan iaitu pada PRU13 dan PRU14.

"Bagaimanapun, kemenangan telah dicapai di DUN Duyong yang mempunyai majoriti sebanyak 61 peratus pengundi Melayu kerana diberikan kepada calon daripada UMNO," katanya.

Tambah beliau, misi untuk mencapai kestabilan politik demi kemakmuran negara hanya dapat direalisasikan sekiranya hanya satu parti mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

"Sehubungan itu, BN perlu membuat perubahan besar bagi merealisasikan misi tersebut, antaranya melihat sentimen setempat dan populasi kaum di setiap kawasan dalam meletakkan calon sesuai," katanya.

Menurutnya, cadangan berkenaan telah disampaikan kepada UMNO Pusat dan dipercayai telah dibincangkan di peringkat BN, cuma ketetapan belum dibuat sepenuhnya.

"Kita percaya pemimpin MCA sudah tahu bahawa kita meminta UMNO diberi peluang bertanding di Parlimen Alor Setar," kata beliau.