Pas jangan berdolak-dalik, nyatakan pendirian terhadap MN

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

PASIR GUDANG - Pas tidak perlu lagi berdolak-dalik sebaliknya perlu segera menyatakan pendirian terhadap Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian Pas sebelum ini amat mengelirukan terutama ketika membuat ketetapan sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Jangan di depan cakapnya lain dan di belakang cakapnya lain. Di (PRN) Melaka sudah jelas, Pas memilih Perikatan Nasional (PN) dan bukannya MN. Pas nampaknya telah berpatah arang, berkerat rotan dengan MB jika tanpa PN.

"Jadi adalah lebih baik UMNO bersedia untuk bergerak secara solo sebagai Barisan Nasional (BN) dan berdiri atas kaki sendiri tanpa memusuhi rakan taulan kita daripada Pas di lapangan," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya, Johor Jaya di sini pada Sabtu.

Pada 12 Disember lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan gagasan MN yang dimeterai bersama UMNO pada September 2019 masih kukuh dan belum berkubur.

Abdul Hadi menjelaskan, tiada perbalahan antara Pas dan UMNO sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hala tuju gagasan tersebut kini di penghujung.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kerjasama UMNO-Pas berkata, UMNO sedia mengambil risiko untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa Pas.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, rakyat mahu pembaharuan pada pada PRU15 terutama daripada parti berkenaan.

"Beranikah UMNO menampilkan muka baharu? Menjanjikan tata kelola yang lebih radikal dan membawa penyelesaian yang lebih inovatif terhadap kemaslahatan rakyat," soal beliau kepada perwakilan.

Pada PRN Melaka kata bekas Menteri Besar Johor itu, 87 peratus calon merupakan muka baharu yang ditawarkan parti tersebut.

"Kita nekad mahu memperkenalkan undang-undang lompat parti. Ini merupakan pembaharuan. Kita bersungguh-sungguh memerangi katak politik. Ini juga pembaharuan. Di Melaka, BN yang lebih menonjol dalam menterjemahkan pembaharuan berbanding PN atau PH," katanya.