X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Sarawak memilih hari ini

A
A

SHAH ALAM - Setelah 12 hari calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) berkempen bermula 6 Disember lalu, kini tiba giliran pengundi di Sarawak untuk menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin untuk tempoh lima tahun akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat mengumumkan sebanyak 1,866 pusat mengundi melibatkan 3,555 saluran akan dibuka pada pengundian PRN Sarawak ke-12 pada hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, dianggarkan seramai 1,213,769 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kesemua 82 kerusi yang dipertandingkan.

Pada PRN kali ini, GPS yang merupakan parti penyandang kerajaan Sarawak memiliki calon tertinggi yang bertanding di kesemua 82 kerusi DUN diikuti Parti Bumi Kenyalang (73) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70).

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula meletakkan 28 calon, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima), Pas (satu) dan Bebas (30).

GPS merupakan gabungan yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Untuk rekod, empat parti komponen GPS yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 2016 berjaya menawan 72 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN lalu.

Pada PRN kali ini, GPS turut mendapat sokongan daripada parti utama yang membentuk kerajaan Persekutuan antaranya Barisan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kedua-dua parti tersebut mengambil keputusan untuk tidak meletakkan sebarang calon.

Meskipun rata-rata penganalisis politik meramalkan GPS mampu memperoleh majoriti mudah, namun beberapa DUN dilaporkan akan menyaksikan pertembungan sengit terutamanya di kawasan bandar seperti di Kuching dan Sibu yang membabitkan pengundi kaum Cina.

Antara kawasan panas ialah di DUN Padungan yang menyaksikan persaingan sengit antara Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan Datuk Bandar Kuching Selatan yang juga calon GPS daripada SUPP, Datuk Wee Hong Seng.

Selain itu, calon GPS yang juga merupakan penyandang DUN Batu Kawah, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian turut dijangkakan berdepan laluan berliku apabila terpaksa menentang tokoh politik muda daripada DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Pada masa sama, menarik juga untuk melihat prestasi parti politik daripada Semenanjung yang cuba untuk bertapak dalam arena politik di Sarawak antaranya seperti Pas dan Amanah.

Di samping itu, turut menjadi perhatian adalah keupayaan dua parti utama pembangkang iaitu PKR dan DAP untuk bangkit daripada kekalahan teruk yang dialami pada PRN Melaka lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!