Cools-Dominic mampu galas tanggungjawab Aidil Zafuan-Shahrul

Mahali Jasuli
Mahali Jasuli
A
A
A

HARIMAU Malaya diyakini mampu memberikan aksi terbaik menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 menentang Indonesia di Stadium Nasional pada Ahad ini biarpun tanpa kelibat dua tonggak pertahanan kental Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Shahrul Saad yang mengalami kecederaan.

Keyakinan itu disuarakan Mahali Jasuli yang menyifatkan kekosongan yang ditinggalkan dua pemain tersebut mampu digalas sebaiknya pemain kacukan, Dion Cools yang bakal bergandingan dengan Dominic Tan.

Malah menurut Jasuli yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya sebelum ini menegaskan ketiadaan Aidil Zafuan dan Shahrul tidak memberikan impak besar kepada keseluruhan jentera terutamanya benteng skuad negara.

Tambah pemain berusia 32 tahun yang masih beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersama PJ City FC optimis yang Cools dan Dominic mampu beraksi baik bagi mengekang jentera serangan Garuda yang dikemudi pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong

“Pada pendapat saya benteng pertahanan skuad negara tetap seimbang kerana Dion Cools akan membantu perkuatkan pasukan dan selain itu saya juga melihat Dominic Tan juga mampu memberikan aksi terbaik.

“Gandingan kedua-dua pemain pertahanan ini rasanya boleh beraksi dengan baik bagi mengekang asakan-asakan daripada jentera serangan Indonesia pada perlawanan itu nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada masa sama Mahali berharap para pemain negara sentiasa berwaspada pada perlawanan itu kerana percaya skuad muda Indonesia kali ini begitu teruja memberi saingan kepada anak buah Tan Cheng Hoe.

“Sudah pasti perlawanan membabitkan Malaysia dan Indonesia akan berlangsung sengit kerana kita tahu kedua-dua pasukan adalah musuh ketat dalam bola sepak.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun di kertas kita ada kelebihan, tetapi kita kena sentiasa berwaspada dengan skuad muda dari Indonesia kerana mereka sekarang betul-betul telah bersedia.

“Jika para pemain dapat beraksi dengan baik dan mengikut perancangan taktikal yang direncanakan oleh jurulatih, saya yakin dan percaya kita mampu mengatasi Indonesia,” katanya.