Empat nelayan hanyut sembilan jam selepas bot karam di Batu Pahat

Empat nelayan yang hilang ditemukan pada pagi Jumaat.
Empat nelayan yang hilang ditemukan pada pagi Jumaat.
A
A
A

BATU PAHAT - Empat nelayan berdepan detik cemas apabila hanyut kira-kira sembilan jam selepas bot mereka karam dipukul ombak ketika menangkap ikan di kedudukan 3.9 batu nautika barat daya Pantai Perpat, dekat sini, tengah malam Khamis.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, selepas mendapat laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.15 malam itu, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru mengaktifkan Op Carilamat bagi mencari mangsa yang berusia antara 25 hingga 34 tahun itu.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, Zon Maritim Batu Pahat telah mengatur gerak bot Benteng 5 dan bot Petir 51 ke lokasi kejadian bagi mengesan bot nelayan berwarna biru dengan pendaftaran SLFA 5050 yang dilaporkan karam bersama empat kru.

“Sebuah pesawat udara AW139 Maritim Malaysia juga ditugaskan dalam operasi pengesanan dan pencarian udara dengan turut dibantu radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut,” kata beliau dalam dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bagaimanapun, Simon berkata, kesemua mangsa yang merupakan warga tempatan, ditemui selamat pada kedudukan 10.8 batu nautika barat daya muara Batu Pahat, kira-kira jam 9 pagi tadi oleh bot nelayan lain yang menyertai Op Carilamat.

“Keadaan keempat-empat mangsa, yang berasal dari Pontian Kechil itu, selamat dan kesemua mereka telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” kata beliau.

Sehubungan itu, komuniti maritim diingatkan sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan laut ketika ingin melakukan aktiviti perikanan di laut.

“Sekiranya terdapat sebarang aduan kesalahan jenayah di laut atau kecemasan segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199 401 atau talian kecemasan MERS 999,” kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: