Sindiket tanam, edar ganja bernilai RM491,520 tumpas

Polis merampas 4.5kg ganja bernilai RM491,520 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam pada Selasa.
Polis merampas 4.5kg ganja bernilai RM491,520 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah sindiket pengedaran ganja tumpas dengan tertangkapnya empat orang lelaki dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Brickfields di sini dan Shah Alam bersama 4.5 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM491,520 pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 36 tahun itu dipercayai aktif di Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama pihaknya menahan suspek pertama di tempat letak kereta sebuah residensi mewah di Pantai Dalam di sini.

Hasil soal siasat, polis turut menyerbu sebuah unit kediaman di residensi terbabit.

"Suspek kedua ditahan di dalam rumah tersebut dan polis berjaya merampas berjaya merampas satu balang kaca mengandungi putik bunga ganja dianggarkan seberat 1,556 gram (g) bernilai RM155,600.

"Pihak polis juga menemui plastik hitam berisi daun kering dianggarkan seberat 720g bernilai RM36,000 dan lapan batang pokok ganja di dalam bag poli kanvas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sahar berkata, hasil soal siasat, pihak polis berjaya menahan suspek ketiga dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Shah Alam dan merampas satu balang kaca mengandungi putik bunga ganja dianggarkan seberat 2,995g bernilai RM299,500.

"Polis turut merampas empat peket plastik lutsinar mengandungi putik bunga ganja seberat 4.20g bernilai RM420 dan tiga paket lutsinar berisi tujuh benih ganja seberat 0.67g.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah pasar raya Jalan Kerinchi di sini dan telah menahan suspek keempat yang disyaki terlibat dalam sindiket dadah," katanya.

Menurut beliau, sindiket tersebut mengimport benih ganja dari luar negara dan menggunakan peralatan canggih untuk menanam dan menjaga benih tersebut sebelum menjual bunga ganja dalam pasaran tempatan.

"Modus operandi sindiket ini merupakan satu trend baru dalam aktiviti pengedaran dadah ganja yang mensasarkan penjualan putik bunga ganja yang bernilai tinggi di pasaran.

"Sindiket menyewa residensi mewah pada kadar sewaan RM4,500 sebulan dan mereka menjual ganja dalam bentuk timbangan 28g dengan harga RM2,800 hanya kepada pelanggan tertentu sahaja,"katanya.

Pada masa sama, pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis KTM Duke 390 bernilai dan sebuah kereta Mercedes Benz C180 Sport manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM586,520.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal tiga daripada suspek didapati positif dadah jenis THC dan dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek adalah warga tempatan ditahan reman selama tujuh hari bermula pada 15 hingga 21 Disember," tambahnya.

Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.