Lelaki ditahan selepas tikam ibu dengan keris hiasan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ARAU - Akibat perselisihan faham, seorang wanita warga emas berusia 60 tahun cedera di rusuk kiri selepas ditikam oleh anak lelakinya dengan sebilah keris yang dijadikan hiasan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Teja 5, Rancangan Perumahan Awam (RPA) di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 10.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

"Sebaik tiba di lokasi, suspek masih berada di kawasan rumah dan tiada pergelutan berlaku di antara pihak polis dan suspek manakala keris tersebut dijumpai di luar rumah.

"Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau telah menikam mangsa menggunakan keris sepanjang 30 sentimeter di luar rumah tersebut," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, suspek yang berusia 31 itu merupakan anak keempat daripada lima beradik, telah menikam ibunya dengan sekali tikaman dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan.

Ahmad berkata, pihak HTF telah memaklumkan bahawa keadaan mangsa adalah stabil dan tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Suspek yang kini dalam tahanan akan direman esok pagi bagi siasatan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: