X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Kolam tular: Pokok kemeling serap bau busuk bukan untuk rekreasi

Orang ramai tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan di kolam takungan biarpun terdapat bau kurang menyenangkan.
A
A

SUNGAI PETANI - Pokok kemeling yang tumbuh di sebuah kolam takungan di Taman Ria Jaya dibiakkan bukan untuk mencantikkan kawasan tersebut sebagai tempat rekreasi tetapi berfungsi sebagai penyerap bau busuk.

Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Dr Mohd Ali Sulaiman berkata, pokok kemeling yang menghasilkan bunga berwarna ungu atau lebih mudah dikenali sebagai keladi bunting merupakan spesis yang mudah membiak iaitu akarnya secara semula jadi menyerap bahan pencemar sekali gus digunakan untuk mengurangkan bau busuk di kolam tersebut.

"Ia bermula dari aduan mengenai bau busuk di kolam takungan yang mengalirkan air domestik seperti hujan dari bumbung rumah ke longkang darionsun (monsun drain) diterima sebelum ini.

"Hasil perbincangan, MPSPK bersetuju menggunakan sejenis tumbuhan yang boleh menyerap bau dan kami pilih pokok kemeling yang mula dibiakkan di kolam ini lebih kurang tiga bulan lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, secara kebetulan, pokok tersebut membiak dengan cepat sehingga memenuhi keseluruhan permukaan kolam selain mengeluarkan bunga hingga menarik perhatian ramai bahkan tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Bau tolak tepi demi pemandangan indah

Mohd Ali berkata, kawasan tersebut bukan di gazet sebagai tempat rekreasi yang boleh dikunjungi oleh orang ramai. Disebabkan itu, pita keselamatan telah dipasang berdekatan pintu air sebagai tanda amaran dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Buat masa ini, kami tidak benarkan kawasan tersebut dijadikan sebagai tempat rekreasi. Sekiranya terdapat individu yang berkunjung ke sana untuk melihat dengan lebih dekat atau bergambar, ia adalah risiko dan tanggungjawab sendiri. Kami bimbang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini atau muncul haiwan berbisa yang mengundang bahaya.

"Laluan ke pintu air juga ditutup kerana bimbang sekiranya ada individu tergelincir atau terjatuh dalam kolam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat pengunjung yang turun ke kawasan kolam kemungkinan untuk bergambar atau cuba mengambil pokok.

"Kami beri amaran ia bukan tempat rekreasi, jadi jangan dekati," katanya.

Pada masa sama, Mohd Ali menafikan bahawa ia adalah kolam kumbahan najis sebaliknya merupakan kolam takungan yang mengalirkan air dari bumbung dan longkang perumahan penduduk sebelum dialirkan ke sungai.

"Hasil laporan memaklumkan punca air yang dialirkan ke kolam takungan juga dipercayai bukan berasal dari kawasan kilang berdekatan.

"Kebanyakan rumah di kawasan ini telah lama dibina dan kebanyakan diubahsuai membabitkan sistem perpaipan baharu menyebabkan aliran air sisa dalam dan luar rumah kemungkinan dialirkan ke kolam terbabit sehingga menimbulkan bau kurang enak," katanya.

Sinar Harian melaporkan, sebuah kolam takungan yang mempunyai bau kurang menyenangkan di Taman Ria Jaya di sini menjadi tarikan pengunjung berikutan pokok kemeling yang dibiakkan menghasilkan bunga berwarna ungu menghiasi keseluruhan permukaan air sehingga ia tular di media sosial.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!