X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

'Beri masa kepada Ismail Sabri buktikan agenda negara berjaya'

Annuar (kiri) semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di sini.
A
A

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi masa secukupnya bagi memastikan semua agenda yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, Perdana Menteri telah melakukan tugas sebaik mungkin dan cemerlang semenjak menerima mandat memangku negara.

"Peluang ini merupakan satu landasan kepada beliau untuk meneruskan tanggungjawab bagi menyempurnakan segala dasar, program dan rancangan di bawah konsep Keluarga Malaysia.

"Kelulusan belanjawan yang diberikan dokongan begitu kuat sekali oleh kerajaan dan pembangkang, merupakan satu detik yang bersejarah kepada kepimpinan beliau," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Annuar sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang sebulat suara meluluskan usul memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada tahun 2023.

Annuar berkata, kepimpinan Perdana Menteri ketika ini cukup bersatu padu, fokus dan mempunyai agenda-agenda yang jelas untuk membangunkan negara serta menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, agenda Pelan Pemulihan Nasional, agenda pertumbuhan ekonomi dan agenda menjadikan negara sebagai sebuah negara sejahtera perlu dilaksanakan sebaik mungkin oleh Ismail Sabri dan beliau perlu diberikan ruang seluas-luasnya untuk memimpin negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan parti itu, Annuar berkata, UMNO Bahagian Ketereh tidak meletakkan sebarang syarat sama ada pemilihan parti itu perlu diadakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, apa yang penting, ia dapat dilaksanakan sebagaimana kewajipan yang perlu dilakukan selepas ditangguh sebelum ini.

"Tidak boleh kaitkan dengan PRU sebab PRU itu melibatkan Perdana Menteri dan kerajaan gabungan dengan beberapa parti. PRU melibatkan keputusan kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, maka ia boleh diadakan sama ada sebelum atau selepas pemilihan parti," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!