Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengguna lega Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

Kesan runtuhan tanah dapat dilihat di Laluan FT185, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands).
Kesan runtuhan tanah dapat dilihat di Laluan FT185, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands).
A
A
A

IPOH - Selama 15 hari Laluan FT185, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands) Seksyen 27.2 ditutup ekoran kejadian tanah runtuh, pengguna jalan raya kini boleh menarik nafas lega apabila laluan itu kembali dibuka pada Jumaat.

Pembukaan hari pertama itu dimanfaatkan oleh Osman Jali Basha, 42, untuk membawa keluarganya bercuti ke destinasi peranginan tanah tinggi itu.

Dia yang berasal dari Kulim, Kedah itu sentiasa mengikuti perkembangan semasa berhubung pembukaan jalan berkenaan.

"Sudah seminggu kami merancang untuk bercuti dan apabila ada ura-ura yang pembersihan jalan dapat disiapkan dalam minggu ini, jadi saya tidak melepaskan peluang untuk datang ke Cameron Highlands.

"Sempena cuti sekolah, anak-anak sudah tentu orang paling gembira dengan perancangan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Notis pemberitahuan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta.
Notis pemberitahuan yang dimuat naik di Facebook Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta.

Dia bagaimanapun mengakui turut bimbang dengan kejadian itu berikutan keadaan cuaca yang hujan sejak memulakan perjalanan sekitar jam 11 pagi.

"Perasaan bimbang itu ada tetapi saya berasa yakin apabila ada kereta dan lori yang keluar masuk melalui jalan ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak akan menggunakan Jalan Tapah - Ringlet sekiranya laluan ini masih ditutup kerana kesibukan dan keadaan jalan yang sempit serta berselekoh," katanya.

Bagi Seleman Mat Saad, 35, pula, dia bersama 13 rakan lain berkonvoi menaiki motosikal bermula dari Sungai Petani, Kedah untuk bermalam di Cameron Highlands.

"Difahamkan kenderaan motosikal boleh lalu jalan ini semalam tetapi kami diarah untuk berpatah semula kerana ada kerja-kerja yang belum selesai dan kami terus menggunakan Jalan Tapah.

"Bagaimanapun jalan alternatif itu buatkan kami serik untuk melaluinya lagi berikutan keadaan jalan yang banyak rosak. Kami lega diberitahu laluan ini dibuka untuk semua kenderaan dan perjalanan kami lancar," katanya.

Dia bersama kumpulannya mengambil langkah berjaga-jaga ketika menunggang selain keadaan jalan berkabus ketika bergerak pulang ke Sungai Petani.

Seleman (empat dari kanan) bersama rakan-rakannya berkonvoi dari Cameron Highlands melalui Jalan Simpang Pulai - Blue Valley untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah.
Seleman (empat dari kanan) bersama rakan-rakannya berkonvoi dari Cameron Highlands melalui Jalan Simpang Pulai - Blue Valley untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah.

Dalam pada itu, pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Syed Saiful berkata, dia lega apabila tempoh perjalanan dari Taiping ke Cameron Highlands membawa sayur dan barang runcit dapat dipendekkan.

"Sepanjang dua minggu ini memang agak menyeksakan. Perjalanan sepatutnya mengambil masa tiga jam menjadi lebih empat jam setiap hari.

"Majikan turut menanggung kos penyelenggaraan kerana lori-lorinya mengalami kerosakan termasuk pada tayar," jelasnya.

Lelaki berusia 33 tahun itu mengakui kejadian yang meragut nyawa rakannya itu membuatnya lebih berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

"Komuniti pemandu lori ini bukanlah besar, kami kenal sesama sendiri. Dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, kami perlu lebih berhati-hati.

"Bukan sahaja kami perlu fokus pada jalan tetapi juga keadaan sekeliling. Kita tidak mahu kejadian tanah runtuh ini berulang," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan lokasi kejadian tanah runtuh terbabit dibuka kepada semua jenis kenderaan bermula jam 9 pagi.

"Kerja-kerja pemantauan cerun sedang dijalankan di tapak demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

"Anda diingatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika menggunakan jalan ini," katanya.

Kejadian tanah runtuh pada 2 Disember lalu telah mengorbankan pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Tragedi itu disifatkan di luar jangkaan apabila kawasan runtuhan itu tidak termasuk dalam radar kawasan berisiko tinggi untuk mengalami tanah runtuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal dihubungi rupanya adik tertimbus

Mayat pemandu lori dibawa keluar, operasi mencari diteruskan

Tanah runtuh: Mayat pemandu MPV berjaya dikeluarkan

Kenderaan tertimbus runtuhan tanah di jalan Cameron Highlands