ADUN ajak Exco debat isu harga barang

Muhamad Arafat - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak ( Gambar Kanan ) Razman
Muhamad Arafat - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak ( Gambar Kanan ) Razman
A
A
A

IPOH - Selepas diperintah keluar dari Dewan Negeri Perak pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad tampil mencabar Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berdebat mengenai isu kenaikan harga barang.

Menurutnya, pelawaan debat mengenai isu itu dicadangkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan jawapan dikemukakan Razman ketika sesi penggulungan Belanjawan 2022 Perak bagi portfolio Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan pada Khamis.

"Saya mencabar Yang Berhormat selaku Exco berdebat secara terbuka dengan saya mengenai isu kenaikan harga barang. Dalam debat tersebut saya akan memberikan cadangan tindakan dan kaedah yang perlu diambil Exco bagi menurunkan harga barang.

"Surat jemputan rasmi mengenai debat tersebut sudah pun dihantar ke Pejabat Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak hari ini (Jumaat) dan saya serahkan kepada YB Exco menetapkan tarikh, masa dan tempat untuk diadakan sesi debat ini.

Pada Khamis, Muhamad Arafat diarahkan keluar selepas mengingkari arahan untuk tidak mengganggu perjalanan sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.

Arahan itu dikeluarkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid selepas wakil rakyat itu enggan duduk atau berhenti apabila diminta Timbalan Speaker, Khalil Yahya untuk berbuat demikian.

ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada Rabu mencuri tumpuan apabila memegang ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ untuk mengulas isu kenaikan harga barangan terutama ayam segar.

Menurutnya, ayam itu dibawa ke dalam Dewan Negeri sebagai ‘hadiah’ kepada Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas ayam, ADUN Hulu Kinta diarah keluar Dewan Negeri

ADUN bawa ayam segar ke sidang DUN