Pemuda UMNO gesa pemilihan parti selepas PRU15

Hasmuni
Hasmuni
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara menggesa pemilihan parti diadakan hanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata, gesaan itu antara dua usul yang menjadi ketetapan utama 176 bahagian Pemuda UMNO selepas mengadakan mesyuarat pada 11 Disember lalu.

“Usul utama Pemuda UMNO bahagian-bahagian bertujuan menggesa supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU15.

"Ini bagi memastikan kerukunan dan kestabilan parti terpelihara serta memberi ruang kepada kepimpinan untuk fokus terhadap agenda bantu rakyat sebelum memulangkan mandat bagi memilih kerajaan yang baharu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hasmuni berkata, usul kedua pula supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon muka baharu dan calon anak muda dalam menghadapi PRU15 yang akan datang.

“Ini juga susulan aspirasi dan keputusan kepimpinan yang meletakkan 87 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya.

Tambahnya, PRN Melaka menjadi saksi bahawa tindakan kepimpinan itu telah memberikan kelebihan dan keyakinan rakyat untuk mengundi BN khususnya pengundi anak muda.

Menurutnya, perwakilan Pemuda UMNO percaya kepimpinan UMNO serta BN perlu meneruskan langkah tersebut supaya UMNO kembali menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Inilah suara majoriti akar umbi Pemuda UMNO di seluruh negara yang mahukan pengukuhan serta memastikan UMNO menjadi organisasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan demi kemakmuran negara.

“Saya juga percaya, Pemuda UMNO sebagai tiang dan teras kepada parti perlu sentiasa bersiap siaga dan memberi komitmen terbaik dalam menghadapi apa juga keadaan,” ujarnya.