UMNO Ketereh lulus usul sokong Ismail Sabri hingga 2023

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KOTA BHARU - Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Ketereh sebulat suara meluluskan usul memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh, Mat Riffin Said membaca usul tersebut dalam mesyuarat yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

"Menyedari bahawa UMNO melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini telah mendapat sokongan dan mandat untuk memimpin kerajaan dan negara sekali lagi.

"Memahami bahawa negara sedang melalui fasa pemulihan dan perdana menteri sedang giat melaksanakan pelbagai langkah untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial berteraskan konsep dan aspirasi Keluarga Malaysia.

"Kita juga menginsafi bahawa rakyat masih belum selamat sepenuhnya daripada ancaman pandemik Covid-19 dan keselamatan nyawa serta kesejahteraan rakyat mesti diutamakan berbanding perkara-perkara lain.

"Maka, Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang bersidang pada Jumaat dengan ini mengambil ketetapan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan usaha-usaha beliau untuk memulihkan kembali Negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial," katanya.

Menurut beliau, perwakilan juga bersetuju memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan pentadbiran negara dan melaksanakan agenda pemulihan negara berteraskan aspirasi Keluarga Malaysia sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14, pada tahun 2023.

Katanya, selain itu, perwakilan menyarankan agar sepanjang tempoh ini, pemimpin dan ahli UMNO memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasakan dan mengukuhkan parti, merapatkan saf, meningkatkan perpaduan sesama ahli serta berusaha bersungguh-sungguh memenangi hati rakyat dan pengundi.

Artikel Berkaitan:

"Menegaskan bahawa UMNO perlu kembali memainkan peranan utama sebagai parti yang memimpin penyatuan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera, seterusnya kembali memainkan peranan sebagai parti tunjang yang menyatukan dan mengharmonikan rakyat dalam negara," katanya.