Helah dakwa bayi cedera ditendang lembu terbongkar

Seorang lelaki warga Myanmar ditahan disyaki mengabaikan bayinya hingga cedera di bahagian kepala dan muka melecet.
Seorang lelaki warga Myanmar ditahan disyaki mengabaikan bayinya hingga cedera di bahagian kepala dan muka melecet.
A
A
A

ALOR SETAR - Helah seorang lelaki mengatakan anaknya cedera ditendang seekor lembu ketika sedang bermain di luar rumah terbongkar selepas dia ditahan kerana disyaki mengabaikan bayi itu hingga cedera di bahagian kepala dan muka melecet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Datuk G Suresh Kumar berkata, lelaki warga asing berusia 27 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10.56 malam Khamis daripada seorang Pegawai Perubatan bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang menyatakan telah menerima seorang bayi warga Myanmar berusia setahun dalam keadaan cedera di bahagian kepala dan muka melecet.

"Mangsa dikatakan mengalami kecederaan akibat ditendang seekor lembu ketika sedang bermain di luar rumahnya, bagaimanapun siasatan dijalankan mendapati bayi itu telah dilanggar bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka.

"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka, namun keadaan terkini mangsa stabil dan masih di bawah pengawasan wad unit rawatan rapi (ICU) HSB," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Sekseyn 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkan dianiaya, diabaikan, dibuang atau didedahkan.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Tambah beliau, siasatan juga dijalankan ke atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kesalahan ini, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun serta sebat tidak kurang dari tiga sebatan," katanya.

Orang ramai diseru untuk bersama-sama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian MERS999.