Sila log masuk terlebih dahulu.

Pekerja kilang papan lemas redah jalan dinaiki air

Anggota bomba membantu mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Anggota bomba membantu mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja kilang papan ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras bersama motosikal yang ditunggangnya ketika melalui jalan yang dinaiki air dalam kejadian di Jalan Kubur Cina, Gambang pada Jumaat.

Mayat mangsa, M Gunalan, 38 dari Taman Gambang Makmur di sini ditemui pada jam 2.22 petang kira-kira 100 meter dari lokasi dia terjatuh sebelum dihanyutkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, motosikal mangsa yang turut dihanyutkan ditemui tidak jauh dari lokasi dia terjatuh.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Gambang bersama pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan siasatan dan keterangan saksi, mangsa yang menunggang motosikal dilihat cuba meredah arus deras ketika melalui jalan yang dinaiki air itu.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh dan dihanyutkan arus ke kawasan anak sungai berhampiran.

"Kejadian itu disedari beberapa orang awam namun gagal menyelamatkan mangsa kerana berlaku dengan pantas dan keadaan di tempat kejadian berbahaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan setelah mayat mangsa ditemui.

"Kematian mangsa dikategorikan sebagai mati mengejut akibat lemas dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah," ujarnya.