Keganasan terhadap wanita isu kesihatan: Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan keganasan terhadap wanita sebagai isu kesihatan, pelanggaran hak asasi wanita, integriti tubuh badan serta hak seksual dan reproduktif.

Beliau berkata, wanita yang didera lebih berkemungkinan untuk terlibat dalam tingkah laku berisiko tinggi seperti merokok dan penggunaan bahan terlarang berbanding wanita yang tidak didera.

“Tambahan pula, tekanan kronik yang disebabkan oleh keganasan dikaitkan dengan kadar penyakit kronik yang lebih tinggi (seperti penyakit jantung dan diabetes), gangguan kesihatan mental dan jangkitan untuk wanita yang didera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama melalui rakaman video pada Forum Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan Malaysia tahunan kedua, anjuran Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia pada Jumaat.

Sementara itu, Khairy juga berjanji untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mewujudkan dasar yang akan memastikan perlindungan dan tumpuan terhadap kesejahteraan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam semua aspek di negara ini.

“Hak untuk autonomi tubuh adalah janji yang diperakui secara sah oleh undang-undang negara kita untuk setiap rakyat Malaysia. Namun saya tidak menafikan terdapat jurang sosial dan undang-undang penting yang perlu dirapatkan apabila melibatkan wanita dan kanak-kanak perempuan,” tambah beliau.

Khairy berkata, sebagai negara berdaulat, Malaysia mempunyai komitmen ke arah menegakkan hak asasi manusia untuk semua rakyat Malaysia, termasuk hak kesaksamaan, maruah, autonomi, maklumat dan integriti tubuh badan serta menghormati kehidupan peribadi dan standard kesihatan yang tertinggi termasuk kesihatan seksual dan reproduktif.

"Malaysia juga merupakan penandatangan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembangunan Penduduk (ICPD) dan Program Tindakannya pada 1994 yang memastikan hak dan pilihan reproduktif untuk wanita dan kanak-kanak perempuan, diikuti Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, serta mengesahkan komitmen kita terhadap ICPD semasa Persidangan Nairobi pada 2019.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan aspirasi, ia adalah komitmen. Komitmen yang berakar daripada pemahaman iaitu sama seperti kebanyakan negara di dunia, kita mesti buat yang terbaik untuk memastikan dapat memenuhi potensi mutlak, hak dan pilihan individu tanpa mengira umur, jantina atau kepercayaan mereka.

“Dan kita telah menetapkan sasaran untuk mencapai matlamat ini menjelang 2030, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG)," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah berusaha untuk menghentikan keganasan rumah tangga terhadap wanita termasuk menubuhkan Pusat Krisis Sehenti yang bertujuan menyediakan akses kepada mangsa keganasan bagi perlindungan, penjagaan kesihatan dan keadilan.

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021 pada Oktober lalu, Khairy berkata, beliau telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan (2020-2025), antara lain mengetengahkan kerjasama antara sektor dan kesediaan krisis dalam menangani isu kesihatan mental, bunuh diri dan tingkah laku bunuh diri.

Menteri Kesihatan itu berkata, berhubung penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak perempuan, Malaysia telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam tempoh 50 tahun yang lalu termasuk kadar kematian maternal yang telah menurun daripada 56.4 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1980 kepada 23.5 peratus bagi setiap 100,000 pada 2018 dan dalam tempoh yang sama, kelahiran selamat oleh bidan terlatih juga telah meningkat daripada 38 peratus kepada 99 peratus.

“Kita juga berjaya mengurangkan bilangan kes HIV baharu kepada 9.3 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2020 - dan telah dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV daripada ibu kepada anak di bawah dua peratus.

“Semasa pelancaran vaksin, kempen Ibunisasi kita bermula pada Jun 2021 dan hanya memenuhi keperluan ibu hamil dan menyusukan bayi, yang pertama seumpamanya di dunia,” katanya.

Dalam kapasitinya sebagai Menteri Kesihatan dan Penyelaras untuk Pelancaran Vaksin, Khairy berkata, beliau berpeluang menjadi saksi kejayaan luar biasa golongan srikandi yang tidak mementingkan diri sendiri - terutama golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.

“Daripada jururawat, doktor, sukarelawan, pekerja pembersihan, penyedia perkhidmatan, penjaga, CSO (organisasi masyarakat awam) dan penjawat awam, kita tidak akan dapat berkumpul di sini hari ini dalam keadaan selamat, jika bukan kerana dedikasi, usaha dan pengorbanan mereka yang berkhidmat tanpa jemu dan lelah.

“Kata-kata penghargaan semata-mata tidak dapat menzahirkan betapa kita terhutang budi dengan golongan hawa ini. Kita mesti sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa kita menyediakan setiap platform yang ada untuk anda semua berkembang maju,” katanya. - Bernama