Menyamar pegawai Imigresen sebelum samun warga asing

Antara barangan yang dirampas ketika tangkapan dijalankan ke atas dua suspek.
Antara barangan yang dirampas ketika tangkapan dijalankan ke atas dua suspek.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua lelaki diberkas dipercayai terlibat kes samun ke atas seorang warga asing dengan menyamar sebagai pegawai Imigresen dalam kejadian di Taman Muhibbah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian samun berkenaan berlaku pada 8 Disember lalu ketika mangsa ditahan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi di lokasi kejadian.

"Salah seorang suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen dari Shah Alam dan meminta mangsa menunjukkan pasport. Apabila gagal menunjukkan pasport, mangsa dipaksa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke kawasan Klang di Selangor. Semasa dalam kereta, mangsa juga dipukul menggunakan kasut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek juga meminta wang sebanyak RM3,000 daripada majikan mangsa jika mahu mangsa dilepaskan.

"Bimbang keselamatan mangsa, majikannya memasukkan sebanyak RM1,500 ke dalam akaun suspek. Kemudian mangsa dilepaskan di hadapan Pasar Raya Mydin di Klang.

"Dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian ini kemudian berjaya diberkas di Klang dalam operasi D9 IPK Selangor bersama JSJ IPD Kuala Langat. Beberapa barangan mangsa berjaya dirampas semula iaitu telefon bimbit, kad ATM. Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam sembilan kes samun dengan menyamar sebagai penjawat awam. Mereka menyasarkan warga asing yang keluar berseorangan dan dibawa ke kawasan Klang. Kemudian suspek akan memeras ugut majikan mangsa," katanya.

Tambah beliau, dua suspek berusia sekitar awal 30an itu mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Menurut Ahmad Ridhwan, suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut serta kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam.

Artikel Berkaitan: