Kerjasama antara Warisan dengan Muda diteruskan: Mohd Shafie

Mohd Shafie (tengah) ketika sidang akhbar sempena pelancaran parti tersebut peringkat nasional di sini pada Jumaat.
Mohd Shafie (tengah) ketika sidang akhbar sempena pelancaran parti tersebut peringkat nasional di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Warisan menyatakan pendirian bahawa kerjasama antara parti itu dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetap diteruskan.

Ia susulan parti tersebut sebelum ini memberitahu akan bekerjasama dengan Muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya turut terbuka menerima mana-mana parti lain untuk bergabung dalam menghadapi PRU15, memandangkan parti berkenaan secara rasmi melebarkan sayap ke Semenanjung negara, pada Jumaat.

“Setakat ini masih dengan Muda. Jadi, sebarang kerjasama akan bincang bersama supaya mantapkan keadaan 'rumah kita' dahulu sebelum lihat yang lain.

"Kita bukan cakap dengan parti-parti, kita close door (tutup pintu), cuma kita nak pastikan ia selaras dengan perjuangan yang kita mahu paparkan kepada pengundi " katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran parti tersebut peringkat nasional di sini, pada Jumaat.

Mohd Shafie berkata, pihaknya juga akan memastikan kerjasama berdasarkan prinsip dan landasan yang sama tanpa kompromi.

Ditanya berkenaan senarai nama tokoh yang akan dicalonkan sebagai ahli pimpinan yang menerajui Warisan di pelbagai negeri di Semenanjung negara, beliau berkata, perkara tersebut akan diumumkan kemudian.

“Setakat ini kita masih belum melantik siapa Pengerusi Perhubungan, Ketua-Ketua Bahagian di peringkat akar umbi. Kita juga akan melihat kepada kawasan dan ini akan diberitahu kemudian,” katanya.

Artikel Berkaitan: