Cemas rumah dilanda banjir kilat awal pagi

Busyral Huda membantu suami membersihkan sisa lumpur di hadapan rumahnya di Taman Pelindung Perdana yang dilanda banjir kilat pada awal pagi Jumaat.
Busyral Huda membantu suami membersihkan sisa lumpur di hadapan rumahnya di Taman Pelindung Perdana yang dilanda banjir kilat pada awal pagi Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Penduduk Taman Pelindung Perdana di sini melalui detik cemas selepas kawasan perumahan mereka dilanda banjir kilat pada awal pagi Jumaat.

Air berlumpur dipercayai dari kawasan bukit berhampiran bertakung dan naik mendadak hingga mencapai paras lebih satu meter.

Keadaan diburukkan lagi apabila berlaku gangguan bekalan elektrik menyebabkan penduduk panik hingga ada dalam kalangan mereka yang gagal menyelamatkan barang-barang penting.

Selain kerosakan perabot, ada penduduk terpaksa menanggung kerugian besar selepas beberapa kenderaan mereka gagal diselamatkan.

SSeorang mangsa, Busyral Huda Abdullah, 43 berkata, dia dan suami menyedari air banjir mula naik kira-kira jam 5.30 pagi.

Menurutnya, ketika itu air sudah masuk ke kawasan hadapan rumah sedalam kira-kira 0.2 meter dan menenggelamkan hampir separuh tayar kereta di tempat parkir.

"Kami panik apabila air naik dengan cepat dan mula masuk ke dalam rumah.

"Kebetulan dua anak baru bersunat (khatan), jadi saya dan suami segera membawa mereka berlindung di tempat selamat sebelum bergegas kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan barang-barang penting.

Artikel Berkaitan:

"Usaha menyelamatkan barang dan dokumen penting terganggu apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus," katanya.

Busyral Huda berkata, walaupun terpaksa menanggung kerugian, dia bersyukur kerana keluarga selamat.

"Kejadian ini kali kedua dilalui namun kali ini jauh lebih teruk," kata pensyarah Kolej Yayasan Pahang (KYP) itu.

Detik cemas turut dilalui seorang ibu tunggal dikenali sebagai Suwaibah Mohamed, 47.

Dia bersama dua anaknya hanya menyedari kejadian itu selepas air sudah memasuki rumah mereka.

Kesan lumpur menutupi jalan selepas banjir kilat melanda Taman Pelindung Perdana di sini surut pada Jumaat.
Kesan lumpur menutupi jalan selepas banjir kilat melanda Taman Pelindung Perdana di sini surut pada Jumaat.

"Keadaan menjadi kelam kabut selepas bekalan elektrik terputus menyebabkan semua barang dan dokumen penting gagal diselamatkan.

"Tiga buah kereta dan empat motosikal yang berada di hadapan rumah juga gagal diselamatkan. Beberapa dokumen penting yang kebetulan berada dalam salah sebuah kereta turut rosak," katanya.

Menurutnya, perabot dan barangan elektrik juga rosak menyebabkan kerugian ditanggung dalam kejadian itu mungkin mencecah puluhan ribu ringgit.

Seorang lagi mangsa, Mohd Azli Abdullah, 47 mendakwa, turut kerugian puluhan ribu ringgit apabila semua perabot, barang elektrik dan sebuah kereta gagal diselamatkan.

Menurutnya, ketika kejadian hanya anak lelakinya yang berusia 18 tahun berada di rumah tersebut.

"Air naik dengan cepat, jadi semua barang tidak sempat untuk diselamatkan. Sejak membeli rumah ini 17 tahun lalu, ini kejadian kedua dilalui namun di luar jangkaan kerana kali ini amat teruk," katanya.

Kejadian banjir kilat yang melanda kawasan perumahan itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu yang segera turun padang meninjau lokasi kejadian.

Menurutnya, dianggarkan kira-kira 100 buah rumah terjejas dalam kejadian itu.

"Bilik gerakan operasi di bawah Jabatan Amal dibuka untuk menggerakkan sukarelawan bagi membantu kerja-kerja membersihkan rumah penduduk terlibat bermula hari ini (Jumàat).

"Bantuan sewajarnya melalui agensi-agensi berkaitan dijangka disalurkan kepada mangsa terlibat. Setakat ini saya belum ada maklumat mengenai bantuan itu," katanya.

Rata-rata mangsa yang ditemui berada dalam kebimbangan, risau sekiranya kejadian sama berulang.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, penduduk terlibat segera membersihkan sisa lumpur selepas banjir surut sepenuhnya.

Difahamkan tiada penduduk dipindahkan.

Kejadian banjir kilat itu berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis.

Kuantan antara daerah yang menerima amaran hujan berterusan peringkat buruk seperti dinyatakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.