'Bukan mudah selamatkan UMNO daripada komplot dirancang'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – Kebangkitan yang dirancang bersama pimpinan parti yang setia kepada perjuangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kini sedang berlaku.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut berkongsi semangat parti itu melalui Facebook pada Jumaat berkata, walaupun sukar tetapi usaha untuk agama, bangsa dan negara tidak pernah terhenti.

“Namun, kebatilan juga tidak pernah tidur dan sentiasa mencari peluang untuk menyekat dan meranapkan kerana tahu kebenaran yang bangkit akan meleburkan mereka.

“Segala macam kelicikan sedang direncanakan ke atas UMNO dan Presidennya tanpa mempedulikan soal penganiayaan, dosa dan pahala demi mempertahankan kuasa dan kedudukan.

“Barangkali juga kerana terlalu takutkan bayang-bayang sendiri setelah segala kejahatan dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap parti terbesar orang Melayu ini,” katanya di media sosial berkenaan.

Menerusi tulisannya juga, Ahmad Zahid turut berpendapat bukan tugas mudah untuk menyelamatkan perjuangan UMNO daripada komplot kemusnahan yang dirancang selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya 9 Mei 2018.

“Engkau jua memahami apa yang terpaksa diri ini harungi sejak lebih tiga tahun lalu demi memastikan UMNO dan perjuangannya tidak hancur dimamah kezaliman,” katanya.

Dakwa Ahmad Zahid, masih jelas dalam ingatannya diugut dan digertak oleh penguasa supaya membubarkan UMNO atau menerima akibat sejurus parti itu tewas pada PRU14 disebabkan fitnah dan tipu daya.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya dihina dan diejek oleh si pembelot yang berkiblatkan jawatan serta kedudukan dan ditekan oleh mereka yang curang supaya menggadaikan parti keramat ini.

“Maka bersyukur insan ini dengan penuh tawaduk kepada Ilahi kerana tidak pernah sesekali mengizinkan ia layu dan kaku berdepan penganiayaan dan kedurjanaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau tetap berpegang kepada amanah dan pesanan lebih 3.3 juta ahli parti untuk mengorak kebangkitan dan mengembalikan kebenaran untuk rakyat dan negara.