Harga ayam di Kelantan semakin murah

Peniaga ayam ketika tinjauan di Program Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di KMart Kesedar. - Astro Awani
Peniaga ayam ketika tinjauan di Program Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di KMart Kesedar. - Astro Awani
A
A
A

GUA MUSANG - Harga ayam di Kelantan menunjukkan penurunan dan kini dijual pada harga RM7 sekilogram berbanding harga sebelum ini mencecah RM10 sekilogram.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman mengesahkan perkara itu selepas pemantauan dilakukan pihaknya beberapa hari lalu.

Adnan berkata, peniaga barangan basah memberi kerjasama baik kepada KPDNHEP apabila menyahut seruan menjual barangan asas seperti ayam dan sayuran dengan harga lebih rendah.

Katanya, sebelum ini KPDNHEP menetapkan Skim Harga Maksimun Keluarga Malaysia pada harga RM9.30 bagi sekilogram ayam.

"Didapati berlaku penurunan pada harga ayam dan alhamdulillah selepas kita perkenalkan Skim Harga Maksimun Keluarga Malaysia, kita tetapkan harga RM9.30 sekilo bagi ayam.

"Di Kelantan ini kita tengok ada yang jual di bawah RM9. Saya ada terjumpa peniaga yang jual RM7 pun ada. Ada jual RM6.99.

"Jadi bagi saya ini satu trend yang sihat dan kita mengalu-alukan peniaga dapat turunkan harga lagi supaya pengguna tidak terbeban dengan harga tinggi sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di K’Mart Kesedar, di Bandar Baru, Gua Musang, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program jelajah KBBM di Gua Musang adalah yang ketiga diadakan di Kelantan sebelum program sama dilakukan di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Katanya, KBBM merupakan inisiatif untuk memulihkan ekonomi peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkesan dengan wabak Covid-19. - Awani