Tersadai kerana rosak atau kereta klon?

A
A
A

“Bukan setakat sampah-sarap, kereta buruk yang dibiarkan tersadai juga menjadi faktor yang mencacatkan pemandangan,” rungut seorang penduduk, Muhammad Nizam Mustafa, 48, yang tidak tahan dengan keadaan yang disifatkannya sebagai mencemar pemandangan di kawasan perumahan sekitar seksyen 24, Shah Alam.

Lebih memburukkan keadaan, kereta-kereta tersadai ini akhirnya menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan dijadikan ‘port’ penagihan dadah.

"Ada juga kenderaan yang ditinggalkan masih mempunyai cukai jalan yang masih belum tamat tempoh. Ada nombor plat kereta yang bila disemak dengan pihak polis, cukai jalan masih belum tamat tempoh tapi dibiarkan tersadai macam itu saja.

"Mungkin kereta klon tapi kita pun tak tahu. Risau juga kalau-kalau kenderaan itu dicuri dan ditinggalkan penjenayah,” ujar Nizam.

Statistik tahun tahun 2014 hingga 2017 menunjukkan, sebanyak 15,000 kereta terbiar melibatkan lapan pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Bandaraya Ipoh (MPI) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pihak berkuasa bertindak

Seksyen 65 Ordinan Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta 333 memperuntukkan bahawa kenderaan yang menjadi penghalang kepada orang awam atau menyusahkan orang awam dan menyebabkan keadaan merbahaya boleh dialihkan.

Menurut akta tersebut, hanya ada tiga penguat kuasa yang layak untuk mengalihkan kenderaan tersadai iaitu pegawai polis, Datuk Bandar atau wakilnya atau ketua pengarah bagi lebuh raya (jika kenderaan dibiarkan di atas lebuh raya)

Menurut undang-undang tersebut, kenderaan terbiar itu boleh dialihkan ke tempat yang sesuai dan risiko terjadi apa-apa kepada kenderaan itu ditanggung oleh pemilik kenderaan tersebut. Malah, kenderaan itu boleh ditahan sehingga pemiliknya membayar kos pengalihan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Polis, Datuk Bandar atau pihak lebuh raya juga tidak boleh dikenakan sebarang tindakan jika ada kerosakan berlaku kepada kenderaan itu semasa ia dialihkan atau terjadi semasa ia berada di lokasi yang dipindahkan.

Antara prosedur yang perlu dilakukan ketika kenderaan itu berada di dalam pengawasan pihak berkuasa ialah mereka boleh melelongkan kenderaan-kenderaan berkenaan selepas tidak dituntut melebihi tiga bulan dan selepas sebulan notis dihantar kepada pemilik.

Dengan itu, kita semua tidak harus sewenang-wenangnya meninggalkan kenderaan lama kita di kawasan awam sehingga ia menjadi beban kepada orang lain.

Pemilik tidak bertanggungjawab

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengambil maklum mengenai isu kenderaan buruk atau terbiar yang ditinggalkan pemilik tidak bertanggungjawab.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, MDKS telah melakukan sitaan sebanyak 13 kenderaan buruk dan terbiar di kawasan operasi MDKS sepanjang tahun lalu.

Rahilah Rahmat
Rahilah
Rahilah Rahmat Rahilah

“Tindakan ini diambil di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MDKS) 2007.

“Adalah menjadi tanggungjawab tuan punya kenderaan untuk melupuskan kenderaan buruk atau terbiar di tempat yang ditetapkan MDKS,” katanya.

Tegasnya, tindakan sitaan akan dikenakan jika pemilik kenderaan terbabit masih ingkar arahan.

“Bagaimanapun, MDKS tiada kuasa untuk mengambil tindakan mengalihkan kenderaan buruk dan terbiar di dalam kawasan parkir pembangunan strata seperti rumah pangsapuri dan kondominium.

“Ini kerana kawasan parkir tersebut adalah kawasan parkir persendirian. Tindakan tersebut adalah di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan juga penduduk,” katanya.

Tidak tahu cara lupus

Bukan tidak peduli, tetapi ada yang tidak tahu bagaimana cara untuk melupuskan kenderaan-kenderaan lama ini.

Justeru, ada yang mencadangkan agar diberi penerangan berkenaan cara-cara melupuskan kenderaan terbiar serta mendaftarkan kenderaan-kenderaan terbiar kepada pihak PBT.

Selain penduduk, penjual kereta khususnya kereta terpakai juga wajar diberikan taklimat dan penerangan tentang cara-cara melupuskan kenderaan supaya mereka dapat menyampaikan kepada pembeli pula cara-cara melupuskan kenderaan. Dengan perkembangan ini, ia memberi kuasa kepada PBT melupuskan kenderaan terbiar.

Antara PBT yang diberi kuasa berkenaan adalah Majlis-Majlis Bandaraya di Ipoh, Alor Setar, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, Kuala Terengganu dan Iskandar Puteri. Langkah ini suatu perkembangan positif dalam memastikan keselesaan penduduk di ibu negara terjamin di samping menyelesaikan masalah parkir yang amat terhad.