Kurang cakap, banyakkan kerja

A
A
A

ORANG politik, pada hemat saya, patut berhenti bercakap. Baik yang dalam kerajaan –termasuk menteri - atau pembangkang dan macai-macai mereka, belajarlah menutup mulut.

Sebab lagi banyak bercakap lagi terdedah mereka kepada pelbagai persepsi negatif. Mereka akan dicap sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’. Silap-silap gaya mereka dituduh pembohong.

Ada yang bercakap pagi-petang, siang-malam, yang di mata rakyat hanya untuk menegakkan benang basah. Gila meroyan seperti ini tidak berfaedah walau setengah sen.

Lebih teruk lagi sekiranya mereka tidak tahu apa yang dicakapkan, macam burung kakak tua. Maka semakin banyak bercakap, semakin terserlah kebodohan.

Waima sekiranya ada idea yang baik pun, fikir dulu sebelum bercakap mengenainya. Sebab idea yang terbaik bagi kita, mungkin tidak berapa baik pada orang lain.

Bagi kita idea itu mungkin paling bergeliga, hebat, tercanggih. Tetapi pada orang lain idea itu mungkin lebih dungu daripada Pak Pandir, maka lebih baik jangan bercakap.

Paling malang sekali ialah apabila yang kita cakapkan itu boleh menimbulkan keresahan rakyat. Ini yang terjadi sekarang. Orang politik suka lepas cakap, hingga hilang rasa sensitif terhadap sesetengah perkara.

Contoh: orang politik A menuduh politik B sebagai Taliban. Politik B menuduh politik C sebagai anti-Melayu, politik X kata politik Y anti-Cina, bla, bla, bla.

Artikel Berkaitan:

Pagi-petang, siang-malam orang politik – tidak kira apa parti pun, tidak kira warna kulit – tidak habis-habis bercakap mengenai perkauman, rasis.

Sudah menjadi kebiasaan, di satu ketika mereka berkobar-kobar bercakap mengenai perpaduan; pada ketika yang lain pula mereka melaga-lagakan kaum.

Orang politik sengaja membangkitkan isu-isu yang kedengaran rasis, hanya untuk kepentingan politik mereka. Politikus lidah biawak seperti inilah yang sebenarnya memecah-belah sesama rakyat. Mangsanya ialah rakyat berbilang kaum sendiri. Kita tidak habis-habis menunjuk perasaan sekiranya ada mana-mana politikus membuat kenyataan berbaur perkauman.

NGO-NGO kita tidak habis-habis membuat laporan polis setiap kali ada isu-isu menyentuh perkauman dan keagamaan. Polis tidak habis-habis membuka fail setiap kali ada aduan.

Seyogia diingat polis kita banyak lagi tugas berat yang perlu diuruskan, termasuk mengesan dan menangkap sekian banyak suspek – termasuk Jho Low – dalam kes 1MDB.

Sekiranya setiap hari sibuk membuka fail dan menyiasat isu-isu remeh perkauman, bila masanya untuk memberi tumpuan memburu penyangak-penyangak skandal terbesar dunia itu?

Biarkan pemain politik yang beraneka warna itu terus bercakap untuk memikat hati kaum masing-masing. Biarkan mereka melalak siang-malam untuk melepaskan geram.

Kita sebagai rakyat jangan pedulikan sangat cakap-cakap dan teori-teori sang politikus yang sengaja melaga-lagakan dan selalu mengelirukan itu.

Lebih baik kita teruskan hidup harmoni seperti biasa. Baik Melayu, Cina, India, Murut, Kadazan, Iban, Jawa dan lain-lain suku kaum, kita adalah satu.

Memang, agama dan adat kita berbeza. Almaklumlah, ada tidak makan babi, ada tidak makan lembu. Ada suka tempe, ada suka budu. Tetapi kita sudah memahami dan saling menghormati.

Maka selalulah yakin, dan sematkan di hati bahawa kita tidak ada rasis. Percayalah hanya sang politikus hipokrit lagi lidah biawak itu yang merasis-rasiskan kita. Lagi pula sejak sekian lama, kita – tanpa mengira kaum – sudah hidup bersama.

Saya masih ingat zaman kanak-kanak yang serba indah itu, saya bersekolah dan membesar bersama anak Cina, anak India, budak Jawa, budak Minang.

Waktu rehat di kantin, kawan-kawan Cina makan bekal ada daging babi. Saya bawa bekal ada kari lembu. Tetapi kita semua boleh makan duduk satu meja, tanpa sebarang prejudis.

Saya tidak makan babi yang dibawa oleh kawan Cina, tidak pula mempelawa kari lembu kepada kawan India. Tidak ada masalah langsung.

Sejak kecil saya sudah macam adik-beradik dengan mereka, sama-sama ber-Aidilfitri, ber-Gong Xi Fa Cai, ber-Deepavali, semua okey. Tiba-tiba sekarang semua tidak boleh! Cakap silap sikit dicap perkauman, boleh buat laporan polis, boleh kena saman. Sikit-sikit rasis. Semua gara-gara mainan orang politik.

Maka, kalau hendak kita harmoni dan hidup aman-damai seperti dulu-dulu, orang politik – tidak kira mewakili kaum mana – jangan terlalu banyak cakap.

Orang politik, khasnya pemimpin, sepatutnya banyakkan kerja. Bukan banyak merapu!