Negeri Sembilan bazir 405 tan makanan setiap hari

Aminuddin (kiri) pada sidang media.
Aminuddin (kiri) pada sidang media.
A
A
A

SEREMBAN - Kira-kira 405 tan metrik sisa makanan sama ada telah dimasak atau belum dimasak dibuang begitu sahaja oleh rakyat di negeri ini setiap hari.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jika satu perempat dari jumlah lebihan makanan itu dapat diselamatkan, ia boleh disalurkan kepada 65,000 penduduk di negeri ini.

Oleh sebab itu beliau menggalakkan lebih banyak pihak menyertai program Food Bank yang dilancarkan kerajaan negeri sejak Jun tahun lalu, sekaligus mengelakkan pembaziran.

“Sebanyak 19 buah pasar raya telah menyertainya yang melibatkan seramai 100 sukarelawan dari pelbagai latar belakang dan seramai 11,000 penduduk kurang bernasib baik termasuk golongan gelandangan di negeri ini telah dibantu.

“Tapi kita masih memerlukan ramai sukarelawan dan turut menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama membantu urusan pengagihan makanan terutama dari pintu ke pintu. Ini kerana ada barangan ini yang mudah rosak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, program berkenaan telah dilaksanakan di semua daerah di negeri ini kecuali Jelebu dan Tampin yang berhadapan sedikit kekangan kerana tiada pasar raya besar di sana.

Aminuddin berkata, menerusi program itu sebanyak 300 kilogram makanan diterima daripada semua penyumbang.

"Kita juga akan turut menggerakkan projek 'Gerobok Rezeki' di semua sekolah dan rumah ibadat di negeri ini yang mana orang awam yang tidak berkemampuan boleh mendapatkan bantuan bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

“Program ini dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Program ini telah pun dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk menubuhkan sebuah dapur berpusat yang boleh menyimpan stok bahan makanan kering dan basah selain dapat digunakan untuk memasak makanan sebelum diedarkan kepada penerima yang layak.